SIRIM sedia bantu pembangunan vaksin tempatan

Ahmad Sabirin (kiri) dan Ahmad Tajuddin (kanan) meninjau perjalanan Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-SelVAX
Ahmad Sabirin (kiri) dan Ahmad Tajuddin (kanan) meninjau perjalanan Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-SelVAX
A
A
A

SHAH ALAM - SIRIM bersedia memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pembangunan vaksin tempatan agar mematuhi piawai antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan proses pembuatan.

Malah, agensi teknologi dan penyelidikan perindustrian di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu telah mengadakan perbincangan dengan Institut Kajian Perubatan (IMR) untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan vaksin di peringkat pra-klinikal sebelum ujian klinikal dan peringkat penghasilan vaksin pada skala pilot.

Perkara itu dimaklumkan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad pada Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-SelVAX kepada 100 anggota kerjanya di bawah Program Vaksin Selangor (SelVAX) di Ibu Pejabat SIRIM di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, SIRIM sebelum ini juga telah melaksanakan pelbagai peringkat ujian ke atas vaksin Sinovac untuk mengesahkan proses serta memastikan produk akhir vaksin Sinovac adalah selamat dan berkesan kepada penerima.

Menurut Ahmad Sabirin, ujian ke atas vaksin Sinovac yang diamanahkan kepada SIRIM melibatkan keperluan fasiliti yang lengkap dan makmal berstatus Amalan Makmal Baik (GLP).

"Sebelum dilantik Pharmaniaga untuk menjalankan ujian ini, SIRIM telah meneliti semua keupayaan dan cara pengurusan makmal di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, SIRIM (1BRC) yang memenuhi kriteria makmal ujian diperlukan badan pengawal selia iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya pada program itu yang turut dihadiri Pengerusi SlRIM Berhad, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutf Kumpulan, SELGATE Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahap keberkesanan vaksin Sinovac melebihi 50 peratus: SIRIM

SIRIM laksana pelbagai ujian untuk pastikan vaksin Sinovac selamat

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, SIRIM menghasilkan data sokongan untuk proses pengesahan dan pemeriksaan kualiti untuk kumpulan vaksin 'fill and finish', manakala NPRA memeriksa data tersebut secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk meluluskan vaksin atau tidak.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi ujian ketoksikan, SIRIM menjalankan ujian 'Abnormal Toxicity' di mana kumpulan vaksin yang telah di 'fill and finish' dikategorikan mengikut kumpulan kestabilan tertentu, manakala untuk pengujian keberkesanan, ujian 'Immunoassay Relative Potency' dijalankan, di mana vaksin secara pukal yang diterima bersama vaksin rujukan (reference vaccine).