X

Kindly register in order to view this article
!

Ahmad Maslan sekali lagi hantar representasi

Ahmad Maslan
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi menghantar representasi untuk menggugurkan dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar berkata, pihak pendakwaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah menerima representasi tersebut.

“Saya sepatutnya berjumpa dengan Tan Sri AG (Idrus Harun) semalam bagi membincangkan representasi itu namun perjumpaan terpaksa ditunda berikutan ada beberapa kekangan,” katanya.

Berikutan itu beliau berkata, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh mengingatkan kedua-dua pihak agar sebarang representasi yang ingin dikemukakan dibuat lebih awal kerana tarikh bicara sudah ditetapkan iaitu bermula pertengahan tahun depan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding berlangsung selama 23 hari iaitu pada 7 hingga 9 dan 13 hingga 15 Jun; 18 hingga 21 dan 25 hingga 28 Julai serta 15 hingga 19 dan 22 hingga 25 Ogos 2022.

Pada Jumaat, kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan kali pertama di Mahkamah Tinggi dan pertuduhan akan dibacakan semula terhadap Ahmad, 55 selepas Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan beliau untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen pada 13 Julai lalu.

Namun, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad memberitahu mahkamah, bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana mempunyai kontak rapat dengan dua individu yang disahkan positif Covid-19 di Parlimen.

“Oleh itu, saya mohon satu tarikh sebutan baharu untuk pertuduhan dibacakan terhadap Datuk Seri Ahmad,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Maslan gagal kali ketiga gugur pertuduhan tidak isytihar LHDN

Pada 18 Disember 2020, Sinar Harian melaporkan Ahmad gagal kali ketiga untuk menggugurkan dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini berikutan Jabatan Peguam Negara menolak permohonan representasi yang dikemukakan Ahmad berhubung kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara jam 2.45 petang dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!