X

Kindly register in order to view this article
!

Krisis istana, kerajaan boleh selesai

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang khas Dewan Rakyat. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menimbulkan krisis antara kerajaan dan istana.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bagaimanapun berkata, krisis berkenaan boleh diselesaikan.

“Ia boleh diselesaikan selagi kerajaan bersedia menurut apa yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Maksudnya, sekarang Parlimen masih bersidang hari ini (Khamis) dan Isnin.

“Saya rasa kerajaan masih ada peluang untuk meminda aturan mesyuarat Parlimen dan memasukkan agenda ini.

“Bentangkan proklamasi dan Ordinan Darurat, kemudian bahaskan dan buat keputusan secara undian untuk diluluskan pembatalan atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Yang di-Pertuan Agong pada Khamis menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, perkara terbabit boleh dibuat oleh kerajaan bagi merungkai ketidaktentuan yang berlaku sekarang.

“Yang pentingnya, kita mengharapkan kerajaan mengusulkan supaya proklamasi dan Ordinan Darurat dibentang serta dibahaskan di Parlimen.

“Mungkin petang ini (Khamis) atau sebelum Parlimen tamat pada Isnin. Kalau masa tidak cukup, maka terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menambah sehari atau dua hari lagi. Itu boleh dilakukan kerana sidang Parlimen boleh ditambah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menolak pembatalan Ordinan Darurat itu secara nyata, tetapi apa yang dimahukan ialah proses itu dijalankan seperti sepatutnya.

“Sebelum Parlimen bersidang lagi Seri Paduka menyatakan dengan jelas supaya proklamasi dan Ordinan Darurat dibentang, dibahas dan diluluskan atau tidak diluluskan di Parlimen.

“Maknanya proses Parlimen itu yang Seri Paduka mahukan,” ujar beliau.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, terdapat empat pilihan tindakan seterusnya boleh dilakukan berikutan krisis pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Empat pilihan itu ialah semua menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan jawatan; membubarkan Dewan Rakyat; Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu selepas pembangkang berjaya meyakinkan Seri Paduka mempunyai majoriti; atau Seri Paduka mengisytiharkan Majlis Gerakan Negara,” kata Mohammad Agus dalam catatan di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Batal darurat tanpa restu Agong rosak imej, kredibiliti kerajaan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!