Kenyataan Istana panaskan Dewan Rakyat, sidang disambung 2.30 petang

Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lebih panas susulan kenyataan Istana Negara berhubung kekeliruan pembatalan Ordinan Darurat.
Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lebih panas susulan kenyataan Istana Negara berhubung kekeliruan pembatalan Ordinan Darurat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa lebih panas susulan kenyataan Istana Negara berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Ia membuatkan ahli-ahli Parlimen mendesak agar penangguhan aturan mesyuarat dibuat bagi memberi laluan isu tersebut dibahaskan dan menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

Suara-suara ahli Parlimen khususnya di blok pembangkang lebih kuat mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan kerana didakwa telah ‘menderhaka’ kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudiannya memutuskan persidangan ditangguh selama 15 minit untuk beliau berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Kenyataan Istana Negara terdahulu menyebut bahawa Al-Sultan Abdullah menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lepas berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah tidak tepat dan mengelirukan Dewan.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin dalam kenyataan itu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Tan Sri Idrus Harun, peguam negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berkata, kenyataan tersebut jelas menunjukkan Kabinet yang diketuai Muhyiddin telah melanggar semangat Perlembagaan, menghina institusi Raja, mengelirukan Dewan, dan tidak bercakap benar kepada Dewan.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada pilihan selain menuntut Perdana Menteri meletak jawatan" katanya.

Hujah Anwar turut disokong oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang turut mendesak Speaker membenarkan isu pembatalan Ordinan Darurat dibahaskan.

"Isu ini sangat serius, isu berkenaan kuasa bawah 150(3) sekarang melalui Istana kita dapat pencerahan. Kalau tak boleh bawa usul, Speaker pun patut letak jawatan" katanya.

Selepas penangguhan 15 minit, Mohd Rashid masuk ke Dewan dan memaklumkan bahawa mesyuarat akan dimulakan semula pada jam 2.30 petang.

Tindakan itu menimbulkan tidak puas hati ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menuntut keputusan sama ada isu pembatalan Ordinan Darurat akan dibahaskan atau tidak.