X

Kindly register in order to view this article
!

JKM Kelantan agih 45,000 bakul makanan

Said (kanan) bersama Tuan Saripuddin (dua dari kiri) memeriksa bekalan makanan yang akan diagihkan kepada penduduk di 14 PKPD di bawah DUN Selising.
A
A

PASIR PUTEH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengagihkan 45,000 bakul makanan kepada individu yang merupakan penerima bantuan bulanan agensi berkenaan di negeri ini.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, agihan itu melibatkan sumbangan di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang telah disediakan oleh kerajaan.

"Agihan ini bertujuan meringankan beban 'klien' JKM yang terkesan dan terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan di Pusat Khidmat Dun (PKD) Selising pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Saripuddin Tuan Ismail.

Menurut beliau, kesemua agihan itu telah selesai diedarkan oleh JKM Kelantan kepada penerima yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, Said berkata, JKM telah mengagihkan 1,800 bakul makanan kepada keluarga di 14 buah kampung di Mukim Selising yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

Katanya, bantuan itu diagihkan mengikut pusat lokaliti yang telah ditetapkan iaitu Masjid Banggol Pak Esah, PKD Selising, Masjid Bukit Bidang, Rumah Penghulu Bukit Merbau dan Taman Sentosa.

"Daripada jumlah itu, PKD Selising menerima jumlah paling tinggi iaitu 680 bakul, Rumah Penghulu Bukit Merbau (423), Masjid Banggol Pak Esah (397), Masjid Bukit Bidang (150) dan Taman Sentosa (130)," katanya.

Tambah beliau, sumbangan bakul makanan bernilai RM100 setiap satu itu bertujuan meringankan beban keluarga yang terkesan dengan perlaksanaan perintah tersebut.

Beliau berkata, memandangkan kawasan ini telah di isytiharkan sebagai zon merah, agihan itu akan dilakukan oleh 100 petugas yang terdiri dari pelbagai gabungan agensi.

"Kesemua bakul-bakul makanan itu diagihkan mengikut keluarga yang terdapat di satu-satu kawasan mengikut lokaliti sebagaimana telah ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!