Pintu tren terbuka: Rapid Rail diarah beri laporan siasatan penuh

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Pengendali Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid Rail diberi tempoh sehingga 2 Ogos ini untuk mengemukakan laporan siasatan awal berhubung insiden pintu tren yang terbuka sendiri ketika sedang membawa penumpang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, syarikat berkenaan diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan laporan siasatan berhubung kejadian pada jam 3 petang Isnin membabitkan tren LRT Tr44 yang bergerak antara stesen LRT Ara Damansara dan Stesen LRT Lembah Subang.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga perlu mengemukakan laporan siasatan penuh berserta semua dokumen sokongan dalam tempoh 21 hari.

“Ketika kejadian, terdapat seramai tujuh penumpang di dalam tren tersebut, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

“Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengambil tindakan serta-merta dengan membuat siasatan dan mengarahkan Rapid Rail membuat siasatan rapi termasuk memberi laporan rekod penyelenggaraan tren berkenaan sebelum berlakunya insiden tersebut dengan kadar segera.

“Seterusnya tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang diambil untuk memastikan insiden sama tidak berulang terhadap mana-mana perkhidmatan kereta api di bawah seliaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ka Siong berkata, tindakan lanjut ke atas pengendali perkhidmatan kereta api tersebut akan diputuskan selepas laporan lengkap dan maklumat penuh insiden diperoleh.

Menurutnya, APAD juga akan membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ka Siong berkata, semua pengendali pengangkutan awam darat serta mana-mana pihak yang terlibat dalam perkhidmatan kereta api perlu menitik beratkan aspek keselamatan.

"Di bawah Akta 715, aspek keselamatan merupakan suatu keutamaan dan syarat di bawah lesen pengendali perkhidmatan kereta api," jelas beliau.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan dan APAD kesal dengan insiden tersebut serta tidak akan bertoleransi terhadap sebarang elemen kecuaian.

"Kita akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi aspek keselamatan sehingga boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada," ujar beliau.