Ketepi perbezaan pandangan, tumpu usaha bantu Palestin

MyAqsaDefenders
MyAqsaDefenders
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyAqsaDefenders (MAD) menyeru sesetengah pihak agar mengetepikan perbezaan pandangan dan mencari titik pertemuan dalam menumpukan usaha membantu Palestin.

MyAqsaDefenders dalam satu kenyataan berkata, MAD mengikuti rapat isu yang tular berkaitan penyaluran bantuan dan misi kemanusiaan ke negara itu.

"Sumbangan dana yang dikumpul adalah jumlah yang disalurkan oleh orang ramai kepada NGO-NGO gabungan dan bukan kepada MAD.

"MAD hanya bertindak sebagai medium untuk pemangkin kepada beberapa langkah strategi seperti mewujudkan satu projek yang memberikan kesan langsung kepada pembebasan Palestin atas dasar itu kita meletakkan hashtag #AlQudsKitaPunya2030," kata kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, pada sidang media pertama MAD ketika Gaza diserang, MAD meletakkan peratusan untuk penyaluran dana iaitu 30 peratus untuk kecemasan, 30 peratus untuk jangka masa sederhana, 40 peratus untuk jangka masa panjang.

Katanya, penyaluran dana adalah menerusi dua kaedah sama ada melalui rakan NGO yang telah mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek di Gaza seperti melalui Cinta Gaza Malaysia (CGM) atau kaedah kedua terus kepada NGO-NGO di Baitul Makdis.

"MAD bukan milik individu dan MAD adalah milik bersama dan MAD dicetuskan atas dasar ingin melihat Palestin dibebaskan dari cengkaman Zionis Israel.

"Seperti mana kejayaan #IsraelKoyak berjaya menggoncang Israel, kami percaya isu yang berlaku mutakhir ini perlu diselesaikan dengan kadar segera kerana usaha harus ditumpukan kepada kerja-kerja sebenar di lapangan," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kenyataan itu menjelaskan bahawa umum sudah maklum berkenaan sumbangan rakyat Malaysia kepada Gaza sejak wilayah itu dikenakan kepungan bermula pada tahun 2007 dan setiap kali serangan Israel bantuan akan tertumpu kepada Gaza.

"Kempen khusus pengumpulan dana daripada NGO ahli gabungan juga telah dijalankan sejak hari pertama serangan Israel ke atas Gaza dan dana terkumpul sehingga 8 Julai 2021 adalah berjumlah RM20,855,025.78.

"Selain itu, beberapa dokumen penting berkenaan MAD seperti MAD Organisational Development Plan, MAD Frequently Asked Questions (FAQs) dan Laporan Penyaluran Projek boleh diakses oleh masyarakat umum terutamanya kepada para penyumbang di link berikut: bit.ly/DokumenUmumMAD," katanya.

MAD adalah gabungan NGO anak muda daripada pelbagai NGO, selebriti dan 'influencer' yang memperjuangkan isu Palestin secara holistik dan strategik.

Gerakan ini bermula dengan satu mesyuarat tergempar pada 11 Mei 2021 melibatkan lebih 17 NGO dan beberapa ikon kemanusiaan dan kemasyarakatan.