Henti persepsi negatif muzik 'underground'

Firdaus (kanan) dan Muhammad Zaini (tengah) mempamerkan flyers konsert NBOM siri kedua yang bakal dianjurkan di Dusthall Studio, Seberang Jaya pada 2 Mac ini.
Firdaus (kanan) dan Muhammad Zaini (tengah) mempamerkan flyers konsert NBOM siri kedua yang bakal dianjurkan di Dusthall Studio, Seberang Jaya pada 2 Mac ini.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Bila menyentuh muzik bawah tanah atau 'underground', saban kali masyarakat membayangkan penganjuran satu acara konsert atau 'gig' berunsurkan pemujaan syaitan, dipenuhi aktiviti tidak sihat dan berlandaskan fahaman radikal.

Namun bagi pengasas kumpulan Northern Brother Ov Metal (NBOM), Firdaus Ahmad, persepsi atau tanggapan negatif dilemparkan terhadap kumpulan peminat muzik 'underground' adalah tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, Firdaus menegaskan kumpulan peminat muzik 'underground' hanya menjadikan acara penganjuran 'gig' sebagai platform menambahkan kenalan sesama mereka di samping berkongsi minat dalam pelbagai genre muzik diketengahkan dalam dunia itu.

"Pernah suatu ketika dahulu, acara 'gig' menjadi perhatian pihak berkuasa kerana dikaitkan dengan unsur gejala sosial dan pemujaan syaitan, sedangkan penganjurannya langsung tidak membabitkan penyalahgunaan dadah, minuman keras atau amalan 'ritual' bertentangan agama Islam.

"Kini persepsi negatif masyarakat terhadap muzik underground sudah semakin terhakis dan mereka diharapkan menghormati golongan peminat muzik itu kerana kebanyakan kami sebenarnya terdiri golongan profesional dan sentiasa menghormati undang-undang dan adat kebudayaan rakyat negara ini,"katanya pada sidang media penganjuran konsert NBOM siri ke-2 di Dusthall Studio, di sini hari ini.

Turut hadir pengasas bersama, Saiful Hairie Salim.

Sementara itu, penganjur konsert NBOM siri 2, Muhammad Zaini Muhammad Noor berkata, sebanyak tujuh band 'metal' terkemuka negara dan sebuah band dari Indonesia bakal menggegarkan pentas konsert itu yang bakal dianjurkan di Dusthall Studio, di sini pada 2 Mac nanti.

Menurutnya, lapan band itu adalah Damaq, Exhothermix, Kambing Sakti, Kaluman(Bandung), Argonist, Hypertika, Negation dan Imperial Decimation.

Artikel Berkaitan:

"Dengan harga tiket hanya RM40, konsert bermula jam 4 petang bakal menyajikan pelbagai genre muzik metal berkualiti kepada peminat genre itu.

"Selain itu, kami turut menyediakan acara cabutan bertuah di mana peminat muzik metal 'underground' boleh memenangi satu keping tiket ke konsert mega 'Deathober 2019' pada Oktober ini dan pelbagai barangan cenderahati seperti baju dan topi,"katanya.

Muhammad Zaini berkata, pihaknya berharap lebih ramai peminat muzik 'underground' terutama genre metal hadir memeriahkan acara gig itu bagi memastikan industri muzik bawah tanah itu akan terus berkembang mekar terutama kalangan golongan muda.