Doktor kontrak di Terengganu tuntut jaminan pekerjaan

Seramai 20 doktor kontrak menyertai protes yang berlangsung secara aman di perkarangan pintu masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Isnin.
Seramai 20 doktor kontrak menyertai protes yang berlangsung secara aman di perkarangan pintu masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 20 doktor kontrak menyertai protes secara aman di pekarangan pintu masuk Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.

Wakil kumpulan doktor kontrak dikenali sebagai Dr Amirah berkata, protes bagi menuntut jaminan pekerjaan itu diadakan dalam tempoh singkat bermula jam 11 pagi sebagai solidariti terhadap gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dijalankan di peringkat pusat.

Katanya, penyertaan kumpulan doktor itu tidak mengganggu jadual kerja dan pesakit kerana mereka sudah habis waktu kerja dan sedang bercuti.

"Bagi mereka yang sedang bekerja pula perlu mendapatkan keizinan daripada pihak atasan supaya tidak menjejaskan tugas dan perkhidmatan di hospital," katanya ketika ditemui pemberita selepas protes aman di HSNZ di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Amirah berkata, protes itu merupakan pilihan terakhir kumpulan berkenaan selepas pelbagai cara dilakukan bagi memastikan mereka diserap sebagai kakitangan tetap.

"Kita ada dua tuntutan iaitu jawatan tetap dan kriteria jelas oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pemilihan bagi mereka yang wajar diberikan jawatan tetap. Kami memerlukan satu jawapan hitam putih yang menentukan masa depan kami dan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

"Idea melakukan hartal ini bukan bertujuan mogok atau perhimpunan secara kasar. Kita cuba cari jalan secara damai namun dalam masa yang sama memberi sedikit tekanan kepada pihak berwajib untuk memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kami di peringkat bawahan," katanya.

Difahamkan terdapat lebih 200 doktor berstatus kontrak yang kini berkhidmat di HSNZ serta terdapat kalangan mereka terlibat mobilisasi ke tempat lain bagi membantu perkhidmatan kesihatan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu lalu, wakil Kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka berkata, dianggarkan seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara dijangka menyertai protes yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.

Katanya, protes itu akan diteruskan memandangkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan yang dibuat mereka.