3 tan durian RM2 'licin' 3 jam

A
A
A

BESUT – Hanya RM2 sebiji. Itu harga dikenakan seorang pemborong buah-buahan kepada para pelanggan yang datang membeli buah durian kampung di kedainya di Kampung Jabi di sini sejak seminggu lalu.

Setiap hari, Norhidayu Mustafar, 27, dan suaminya, Mohd Azli Abu Bakar, 32, menyediakan kira-kira tiga tan durian kampung kepada pelanggan dan raja buah itu habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja.

Menurut Norhidayu, harga RM2 sebiji durian tidak menjanjikan keuntungan tinggi namun dia tetap menjualnya sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang setia menyokong perniagaan buah-buahannya.

“Durian RM2 memang dijual pada setiap hari. Niat saya supaya semua orang boleh dan mampu makan durian bersama keluarga masing-masing.

“Untung memang tipis saja, tapi saya harap harga yang saya tawarkan ini dapat memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah (B40) sama merasai keenakan buah durian.

“Lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini di mana ramai orang tiada punca pendapatan akibat hilang pekerjaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.

Dia yang mengusahakan perniagaan memborong buah-buahan bersama Mohd Azli sejak tujuh tahun lalu berkata, selain durian RM2, kedainya turut menyediakan durian pelbagai gred lain dengan harga berpatutan.

Katanya, pelanggan boleh memilih sama ada durian berharga RM4, RM6, RM8, RM10 sebiji atau gred lebih berkualiti tinggi yang dijual RM3.50 sekilogram termasuk jenis musang king berharga RM40 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 10 tan durian pelbagai gred yang diambil setiap hari dari pekebun sekitar Keruak, Hulu Besut akan dijual bermula jam 10 pagi.

“Semua buah durian yang kami jual memang ‘fresh’ kerana kami ambil terus dari kebun pada setiap pagi.

“Pelanggan boleh pilih sendiri durian yang mereka mahu dan jika ada buah rosak atau tidak elok, kami akan ganti lain. Kebiasaannya stok akan habis setiap hari dengan buah durian RM2 sebiji licin sekitar jam 1 tengah hari,” katanya.

Selain jualan kepada penduduk sekitar daerah Besut, pasangan yang merupakan pemborong buah-buahan di dalam dan luar negara melalui syarikat Zeliey Enterprise turut mengedarkan buah durian ke pasaran luar Terengganu.