X

Kindly register in order to view this article
!

KP Kesihatan minta doktor kontrak tidak sertai demonstrasi

Kenyataan Dr Noor Hisham di Facebook beliau pada malam Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta doktor kontrak tidak menyertai demonstrasi yang dijadualkan pada Isnin sehingga meninggalkan tanggungjawab terhadap pesakit.

Beliau berkata, tindakan menyertai demonstrasi itu umpama mempertaruhkan nyawa pesakit dan memberi kesan kepada kerjaya doktor kontrak yang terlibat.

"Kepada semua rakan sekerja, doktor dan petugas penjagaan kesihatan, ingatlah sumpah yang kita semua buat ketika kita memulakan profesion kita 'primum non nocere' iaitu yang utama tidak membahayakan atau menzalimi pesakit kita.

"Walaupun kami memahami bahawa anda ingin terus berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara tetap, kini kerajaan telah mengumumkan perlanjutan kontrak selama dua tahun," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada malam Ahad.

Beliau berkata demikian merujuk kepada gerakan Hartal Doktor Kontrak yang merancang untuk keluar beramai-ramai daripada fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja di seluruh negara tepat jam 11 pagi Isnin.

Ia sebagai bantahan kerana tuntutan mereka untuk diserapkan ke jawatan tetap tidak dipenuhi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Muhyiddin berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutan mereka.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, lanjutan berkenaan memberi masa untuk pindaan dibuat terhadap Akta Pencen 1980 supaya jawatan tetap boleh digajikan dengan pilihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu tanpa pencen.

Sementara menunggu pindaan itu, beliau menjelaskan, kerajaan akan membenarkan petugas kontrak untuk menyambung pengajian sarjana dan menawarkan jawatan tetap dengan pilihan KWSP setelah tersedia nanti.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan kita.

"Ingat sumpah yang kita lafazkan dan ikuti dengan ikhlas. Berada di sana pada masa mereka (pesakit) dan negara sangat memerlukan anda," kata beliau.

Tegasnya, kesemua doktor dan petugas kesihatan adalah kubu pertahanan terakhir yang memberi perbezaan kepada pesakit dan setiap perkara penting dalam kehidupan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!