Tiada demonstrasi doktor kontrak di Johor

Keadaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, tenang pada Isnin.
Keadaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, tenang pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada perarakan atau demonstrasi berlaku di fasiliti kesihatan di negeri ini, susulan mogok yang dilancarkan doktor kontrak selama tiga hari bermula hari ini.

Exco Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata, perkhidmatan rawatan pesakit di klinik dan hospital berjalan lancar selain tiada kesesakan luar biasa berlaku.

"Terdapat 1,880 pegawai perubatan lantikan kontrak gred UD41 dan gred UD43 yang bertugas di 24 fasiliti kesihatan negeri ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 113 orang pegawai perubatan di klinik-klinik kesihatan dan 1,767 orang di 12 hospital di Johor.

"Bilangan pegawai perubatan yang tidak hadir bertugas atau bercuti pada Isnin dilaporkan terkawal," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau turut berterima kasih kepada doktor kontrak di negeri ini kerana tidak melibatkan diri dalam rancangan mogok, sebaliknya terus menawarkan khidmat yang terbaik untuk semua pesakit.

"Segala permasalahan pasti ada solusinya tetapi mengadakan mogok bukanlah solusi terbaik.

"Walaupun perkara ini bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebagai wakil kerajaan saya terbuka mendengar rintihan doktor kontrak untuk disampaikan kepada kementerian," katanya.

Dalam pada itu, Tian Soon mencadangkan kabinet menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menyelesaikan isu membabitkan doktor kontrak.

"Jawatankuasa Peringkat Tertinggi ini dicadangkan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi menangani isu doktor kontrak ini.

"Ia bagi membolehkan isu ini dapat digerakkan segera bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada pagi Isnin, mendapati keadaan terkawal dan operasi hospital berjalan seperti biasa.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, mogok doktor kontrak Malaysia yang bertemakan 'Mogok Black Monday' tetap diteruskan pada Isnin hingga Rabu, walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mogok Doktor Malaysia menerusi hantaran di Instagram meminta semua pihak yang menyokong gerakan yang dilakukan untuk memakai pakaian berwarna hitam.