PKPD di 28 lokaliti di lima negeri bermula Selasa ini

PKPD akan dilaksanakan di 28 lokaliti di Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah dan Sabah bermula Selasa ini sehingga 9 Ogos. Foto hiasan.
PKPD akan dilaksanakan di 28 lokaliti di Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah dan Sabah bermula Selasa ini sehingga 9 Ogos. Foto hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan terhadap 28 lokaliti melibatkan negeri Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Sabah bermula 27 Julai hingga 9 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 14 lokaliti ialah dari Mukim Bukit Jawa dan Mukim Bukit Abal, Kampung Dalam Daerah Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, lokaliti terbabit di Mukim Bukit Jawa ialah Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Pak Omar, Kampung Bukit Bidang dan Kampung Bukit Merbau.

Tambah beliau, di Mukim Bukit Abal pula melibatkan Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong' Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah.

“Di Perak pula, kampung yang disenaraikan ialah Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah, Mukim Ulu Selama, Daerah Larut Matang dan Selama.

Selain itu, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Teluk Menara, Mukim Manir, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kampung Bukit Malut, Pulau Langkawi, Kedah.

“Lapan lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah ialah Kampung Mananam, Tongod; Taman Semarak Megah, Tawau; Kampung Sangkabok, Menumbok; Ladang Belian, Kalabakan; Kampung Batandok dan Kampung Menanjung, Beaufort; Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya, Sipitang dan Kampung Sumaang, Ranau.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, kerajaan bersetuju untuk mengenakan PKPD di lokaliti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan berkuatkuasa dari 27 Julai 2021 sehingga 9 Ogos 2021.

Sementara itu, beliau menjelaskan, lapan lokaliti PKPD di Sabah ditamatkan pada 26 Julai 2021 seperti yang dijadualkan manakala Damai Apartment, PJS 8, Damansara, Petaling, Selangor tamat lebih awal iaitu pada 25 Julai.

Menurutnya, lokaliti di Sabah itu ialah Kampung Nahaba, Tegudon, Kota Belud; Jalan Pasir Likas; Taman Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru, Telipok, Kota Kinabalu; Borneo Timber, Tongod; Kampung Tebongon, Putatan dan Kampung Jempangah serta Kampung Rancangan Klias, Beaufort.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan ditutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya, arahan itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 1,300 buah kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 buah asrama penempatan pekerja.

“Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 82,249 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan kekuatan anggota seramai 18,934 orang,” katanya.

Tambah beliau, pada 24 Julai, 482 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu seramai 457 individu dikompaun manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.