X

Kindly register in order to view this article
!

Menjelang Dewan Rakyat, dua ahli Parlimen positif Covid-19

Ahmad Zahid, Mansor Othman
A
A

SHAH ALAM – Menjelang persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, dua ahli Parlimen dilaporkan positif Covid-19.

Dua ahli Parlimen positif Covid-19 dalam ujian saringan yang dilakukan itu ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Ahmad Zahid yang merupakan Presiden UMNO berkata, beliau berada dalam keadaan baik tanpa sebarang simptom.

“Saya faham ramai tertanya-tanya mengenai keadaan saya selepas mendengar berita yang di luar jangkaan.

“Saya tidak mengalami demam, batuk, selesema atau apa-apa gejala lain.

Sekarang ini saya menjalani kuarantin kendiri dan bekerja seperti biasa secara dalam talian.

“Bagaimanapun, iltizam saya untuk rakyat dan negara tidak akan sesekali goyah. Insya-ALLAH.

Saya akan terus berkhidmat dengan kapasiti yang ada. Doakan saya untuk terus berjuang,” katanya menerusi tulisan di Facebooknya.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette melaporkan Mansor sedang menjalani kuarantin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur sejak Jumaat.

Mansor berkata, beliau tidak boleh menghadiri Dewan Rakyat susulan disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, beberapa ahli Parlimen lain negatif dalam ujian saringan ke atas mereka.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad melaporkan bahawa beliau negatif daripada wabak berkenaan.

“Alhamdulillah, pengesahan keputusan PCR negatif diterima melalui MySejahtera pagi ini.

Sedia untuk ke @MYParlimen esok (Isnin),” ciapnya.

Selain Fahmi, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing dilaporkan negatif Covid-19.

Annuar dipetik Bernama berkata: "Saya baik dan sihat," manakala Nik Mohamad Abduh juga dalam respons ringkas kepada Bernama berkata: "Alhamdulillah negatif,".

Pegawai Komunikasi Strategik kepada Mohd Rashid, Muhammad Afiq Mohd Hanif berkata, selain Ahli Parlimen Batu Pahat itu, semua pegawainya juga didapati negatif Covid-19 selepas menjalani saringan di Parlimen pada Jumaat.

Beliau berkata, Mohd Rashid juga bukan kontak rapat kepada mana-mana individu dilaporkan positif virus itu.

Persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin adalah yang pertama bagi tahun ini selepas ditangguhkan susulan perisytiharan darurat di seluruh negara sejak 12 Januari lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!