X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas penghuni Sekolah Henry Gurney kongsi pengalaman di media sosial

Tangkap layar Sinar Live.
A
A

KUALA LUMPUR - Mempunyai sejarah silam bergelar ‘pelatih’ di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bukanlah suatu yang boleh dibanggakan kerana sekali kaki pernah menjejaki di situ, pastinya masyarakat mempunyai tanggapan negatif terhadap mereka.

Ini kerana sekolah itu cukup dikenali sebagai ‘tempat hukuman’ untuk remaja nakal yang terjebak dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah, menjadikan kebanyakan lepasan institusi itu lebih suka merahsiakan detik hitam perjalanan hidup mereka.

Namun berbeza keadaannya bagi Muhammad Izzad Daniel Abdullah, 22, yang mengambil inisiatif berkongsi pengalamannya ‘belajar’ di sekolah itu selama tiga tahun selepas terbabit kes pecah rumah ketika berusia 17 tahun, pada 2016.

Melalui platform YouTube dan Tik Tok, Muhammad Izzad tidak kisah membuka ‘pekungnya’ untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada golongan muda agar tidak tersilap percaturan dalam menentukan arah hidup mereka.

"Saya lihat statistik penghuni di sekolah itu semakin bertambah pada setiap tahun. Jadi, apabila bebas, saya cuba cari kaedah bersesuaian yang bertujuan memberi pengajaran sekali gus membantu mengurangkan kadar jenayah melibatkan remaja di negara ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada awalnya, bapa kepada seorang anak perempuan ini mengakui tidak yakin akan tindakannya itu kerana ia ibarat membuka aib sendiri, namun dia terkejut apabila perkongsiannya mendapat maklum balas positif daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Tujuan saya hanya satu, untuk memberi mesej kepada orang ramai khususnya golongan belia supaya jauhi perbuatan jenayah dan ambil iktibar daripada kesilapan yang saya lakukan. Saya tidak mahu mereka tersilap langkah dalam hidup dan mengalami nasib seperti saya.

"Alhamdulillah, perkongsian itu tular di media sosial dan ramai memberi sokongan positif selepas saya mula melakukannya pada Ogos tahun lepas. Ini adalah penghargaan terbesar buat saya," katanya yang turut mendapatkan nasihat dan pandangan daripada beberapa ustaz sebelum berbuat demikian.

Menceritakan kembali detik ‘kenakalannya’, anak sulung empat beradik itu mula terlibat dengan najis dadah seawal usia 12 tahun dan apabila naik sekolah menengah, dia menjadi penagih tegar pil kuda, syabu dan morfin menyebabkannya sering ponteng sehingga akhirnya dibuang sekolah.

Dia cuba mencari pekerjaan ketika itu, namun dengan keadaan diri yang tidak terurus, sudah pasti tidak ada majikan yang sanggup menawarkan pekerjaan menyebabkannya mengambil jalan pintas melakukan jenayah pecah rumah untuk mendapatkan wang sebelum ditangkap.

Sepanjang tempoh menjalani pemulihan di sekolah itu, Muhammad Izzad Daniel banyak bermuhasabah diri dan berazam menjadi seorang insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

"Bagi saya, dalam melakukan perubahan hidup, ia merangkumi 50 peratus usaha yang datang daripada diri sendiri manakala selebihnya adalah sokongan dan nasihat daripada keluarga dan masyarakat," katanya.

Biarpun tidak dapat lari daripada stigma negatif masyarakat, anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu tidak mahu perkara ini melemahkan semangatnya untuk membina kembali kehidupan sekali gus menjadi orang yang berjaya pada suatu hari nanti.

"Kita jangan pernah jatuh dengan kata-kata kecaman orang sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus maju ke hadapan. Masyarakat juga seharusnya memberi peluang kedua buat mereka untuk berubah menjadi lebih baik.

"Pada saya, jika kegagalan yang dicari maka itulah yang kita akan dapat. Namun, jika kejayaan yang dicari maka usaha perlu diteruskan kerana ia tidak akan datang dengan mudah. Insya-ALLAH kejayaan akan hadir,” katanya.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pengurusan Penerbangan di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Kuala Lumpur dan turut dilantik sebagai ikon Projek Reben Kuning oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun lepas selain aktif memberi ceramah motivasi di sekolah dan institusi pengajian tinggi.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!