X

Kindly register in order to view this article
!

14 wanita, remaja Myanmar diseludup masuk untuk berkahwin

Zainuddin
A
A

TANAH MERAH - Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada wanita dan remaja perempuan warga Myanmar ditahan di sebuah rumah sewa di Kampung Gual Ipoh di sini pada dua minggu lalu kerana dipercayai menyeludup masuk ke Malaysia bagi tujuan berkahwin.

Mereka ditahan bersama tiga lelaki pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) warganegara sama yang dikatakan bertindak sebagai tekong penyeludupan migran.

Turut bersama mereka, tiga kanak-kanak iaitu seorang berusia 10 tahun manakala dua lagi masing-masing berusia lima tahun.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, serbuan dan tangkapan dilakukan hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Tanah Merah pada jam 5.45 petang, 11 Julai lalu.

Katanya, PATI wanita dan remaja perempuan itu berusia antara 13 hingga 31 tahun.

“Tiga lelaki Myanmar didapati pemegang kad UNHCR manakala kesemua perempuan dan tiga kanak-kanak tidak ada dokumen pengenalan diri.

“Tujuan datang ke Malaysia dipercayai untuk berkahwin di negara ini dan ada juga yang datang untuk bersama suami di sini,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Sabtu.

Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati migran-migran menyeludup masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan ujian swab Covid-19 dijalankan serta kesemua tangkapan diasingkan.

“Hasil saringan mendapati tujuh perempuan didapati positif Covid-19, bagaimanapun tidak menjangkiti tahanan lain mahupun petugas memandangkan pengasingan lokap dibuat dari awal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata, pertuduhan jenayah akan dilakukan di Mahkamah Majistret Jeli pada Ahad ke atas 14 orang perempuan warga Myanmar kerana tidak ada dokumen perjalanan yang sah.

“Prosiding akan dijalankan secara maya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan sebat sehingga enam kali,” katanya.

Tambahnya, tiga tekong terbabit masih lagi dalam siasatan dan akan didakwa di mahkamah selepas mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!