Van polis terbabas: Semua anggota dalam perjalanan ambil kenderaan polis di Melaka

TAPAH - Seramai 11 anggota polis yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van polis di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Selasa dalam perjalanan ke Melaka bagi mengambil semula kenderaan polis yang dipinjamkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua anggota terbabit merupakan pemandu yang ditugaskan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk mengambil semula kenderaan berkenaan.
Menurutnya, daripada 11 anggota terlibat, empat mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Slim River manakala enam lagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
"Setakat ini, kebanyakan kecederaan dialami membabitkan bahagian kepala selain ada yang mengalami patah tangan dan sebagainya.
"Seorang anggota meninggal dunia dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Tapah, di sini pada Selasa.
Mohd Alwi berkata, jenazah anggota berkenaan akan dimandi dan diuruskan di hospital sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, pihak polis turut akan menguruskan kebajikan keluarga anggota yang meninggal dunia.
Katanya, anggota berkenaan juga dimaklumkan mempunyai caruman insurans koperasi yang akan diuruskan untuk diserahkan kepada waris.
Jenazah Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, dibawa dari Hospital Tapah ke Surau Ehsaniah Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah Kompleks Perumahan PDRM Tapah kira-kira jam 5.53 petang untuk solat jenazah sebelum dibawa pulang ke kampung halaman.
Terdahulu media melaporkan seorang anggota polis maut selepas tercampak keluar dari sebuah van polis yang terbabas sebelum merempuh penghadang besi di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Selasa.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 pagi apabila van jenis Maxus berkenaan membawa 11 anggota polis termasuk pemandu yang dalam perjalanan dari IPK Perak menuju ke Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

