Isu anjing liar: Persatuan Perlindungan Haiwan Kluang dibenar cabar tindakan MPK

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuanmemberikan kebenaran kepada persatuan itu berhubung dua remedi yang dimohon, iaitu perintah certiorari serta deklarasi. - Gambar hiasan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuanmemberikan kebenaran kepada persatuan itu berhubung dua remedi yang dimohon, iaitu perintah certiorari serta deklarasi. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Perlindungan Haiwan Kluang dibenar memulakan semakan kehakiman bagi memperoleh deklarasi bahawa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam mengendalikan anjing liar di kawasan pentadbirannya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Dr Shahnaz Sulaiman, Datuk Amarjeet Singh dan Alice Loke Yee Ching memberikan kebenaran kepada persatuan itu berhubung dua remedi yang dimohon, iaitu perintah certiorari serta deklarasi.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan persatuan itu memulakan semakan kehakiman bagi remedi melibatkan perintah mandamus, ganti rugi dan larangan.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Shahnaz berkata terdapat kes yang boleh dihujahkan bagi remedi certiorari dan deklarasi seperti dimohon, yang wajar dibincangkan dengan lebih lanjut pada peringkat pendengaran substantif prosiding tersebut.

Beliau juga berkata permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Persatuan Perlindungan Haiwan Kluang pada 7 Mei tahun lepas dibuat dalam tempoh ditetapkan.

Justeru itu, panel berkenaan mengembalikan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk didengar di hadapan hakim atau Pesuruhjaya Kehakiman lain bagi memutuskan permohonan semakan kehakiman tersebut pada peringkat substantif dan menetapkan 24 Nov sebagai tarikh pengurusan kes.

Persatuan Perlindungan Haiwan Kluang, yang memfailkan semakan kehakiman terhadap MPK dan Yang Dipertuanya, memohon deklarasi bahawa pihak majlis telah melanggar SOP yang ditetapkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung penangkapan serta pelupusan anjing liar di kawasan pentadbirannya.

MPK menafikan dakwaan berlakunya layanan buruk dan penganiayaan terhadap haiwan berkenaan, dan menyatakan bahawa anjing-anjing tersebut dilupuskan mengikut SOP yang ditetapkan.

Pada 21 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan persatuan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Artikel Berkaitan:

Persatuan Perlindungan Haiwan Kluang diwakili peguam Gavin Jayapal dan Parveena Kaur manakala Peguam Persekutuan Kanan Suhana Sabil hadir bagi pihak Peguam Negara pada prosiding hari ini. - Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!