Maki, tendang dan tumbuk polis ketika diberkas

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Lima individu bertindak mengeluarkan kata-kata kesat selain cuba menumbuk dan menendang anggota polis dalam kejadian di bawah sebuah blok di Flat Sri Nilam di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam ketika dua anggota polis Unit Rondaan Motorsikal (URB) menerima arahan dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memantau kawasan itu.

Beliau memberitahu, ketika anggota polis tiba di lokasi, terdapat lima individu sedang berkumpul dalam keadaan mabuk dan mereka tidak memberi kerjasama malah bertindak agresif dan cuba menyerang anggota bertugas.

"Anggota polis terbabit kemudiannya meminta bantuan bagi mengawal keadaan dan kemudian anggota unit peronda MPV telah tiba di lokasi itu tetapi berlaku pergelutan ketika suspek diberkas.

"Mereka mengeluarkan kata-kata kesat.

Dua anggota polis ditumbuk di dada serta digigit lengan kiri dan tengkuk selain ditendang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, salah seorang suspek melarikan diri tetapi identitinya sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya masih dijalankan.

Mohamad Farouk memberitahu, rasa tidak puas hari suspek tidak berakhir di lokasi kejadian apabila dua daripada empat yang ditahan sekali lagi bertindak agresif memaki hamun polis ketika berada di IPD Ampang Jaya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesemua suspek ditahan berumur 23 hingga 26 tahun dan tidak bekerja.

"Suspek turut mempunyai rekod lampau dalam dadah dan jenayah kekerasan termasuk yang telah melarikan diri.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.