X

Kindly register in order to view this article
!

'Kini terpulang kepada pemain negara'

Mohamad Norza
A
A

PERHATIAN seluruh peminat badminton negara pastinya tertumpu kepada persembahan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan juga rakan sepasukannya dalam usaha mereka meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila pertandingan badminton di temasya sukan itu bermula esok.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kini terpulang kepada mereka untuk mempamerkan persembahan mantap, selepas segala persediaan terbaik mungkin telah dilaksanakan oleh pihak persatuan.

"Ia termasuk satu fasa latihan sebelum bermula Olimpik, serta penyertaan dalam pelbagai pertandingan dalam usaha memberi pendedahan kepada pemain, dan memberikan mereka pengalaman berharga, bersaing dengan antara pemain terbaik dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Maafkan Chong Wei'

"BAM amat prihatin dan bertindak tegas lagi berani, untuk membawa semua pemain, termasuk pemain junior di bawah satu bumbung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) ketika pandemik COVID-19 pada suku pertama 2020 bermula," kata Mohamad Norza dalam satu kenyataan.

Beliau berkata para pemain ditempatkan dalam kem latihan berasaskan kuarantin, di bawah peraturan ketat bagi menjamin keselamatan mereka, di samping memastikan mereka boleh menjalani latihan tanpa apa-apa gangguan.

"Saya percaya dalam tempoh penuh mencabar yang dilalui, telah mengukuhkan mereka secara fizikal mahupun mental, dan menyediakan mereka untuk menghadapi Olimpik Tokyo, apabila sekatan pergerakan yang dikenakan selama berbulan lamanya memberi kesan besar terhadap persediaan kita, terutama dalam menghantar pemain kita ke luar negara untuk sertai pertandingan,” katanya.

Mohamad Norza berkata para pemain telah bekerja keras dan cukup komited, walaupun dikenakan pelbagai syarat disebabkan pandemik.

"Saya benar-benar puas hati dengan semangat serta komitmen mereka, dan yakin mereka akan mempamerkan persembahan yang mantap di Tokyo,” katanya.

Katanya beliau juga berpuas hati dengan persembahan pemain muda di bawah BAM, dan berkata pihaknya telah menyediakan rancangan jangka panjang dan sederhana, tanpa mengira hasil Sukan Olimpik ini, yang termasuk "Projek 2024’ dan program ‘Junior Elite’ bagi melahirkan juara bertaraf juara.

Selain Zii Jia, Malaysia diwakili oleh Soniia Cheah dalam perseorangan wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran). -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!