X

Kindly register in order to view this article
!

'Maafkan Chong Wei'

Chong Wei meraih pingat perak dalam tiga penampilan Sukan Olimpik sebelum ini.
A
A

BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal menyumbang pingat emas Sukan Olimpik sepanjang kariernya.

Chong Wei berkata, dia sudah berusaha sedaya upaya untuk menghadiahkan emas sulung Olimpik buat kontinjen Malaysia selepas tampil dalam tiga aksi final bermula edisi Beijing 2008; London 2012 dan Rio 2016.

"Chong Wei mahu pingat emas Olimpik. Chong Wei mahu bendera Malaysia dikibarkan. Chong Wei mahu sangat lagu "Negaraku" berkumandang di pentas Olimpik.

"Setiap hari latihan bermati-matian. Bangun paling awal, balik paling lambat. Arak tak pernah sentuh. Rokok pantang dicuba. Makan pun jaga. 2008 di Beijing, Lin Dan di belakang ribuan sokongan penonton tempatan. Terlalu handal. Tidak apa. Cuba lagi empat tahun lagi.

"2012 di London, Lin Dan lagi (siot betul)! Kali ini sengit. Chong Wei menghabiskan segala tenaga yang ada. Sampai kosong gas tong. Rubber game, kalah 21-19. Tidak putus asa. Nak lagi, empat tahun lagi.

"2016 di Rio, kali ini saya menang Lin Dan. Tapi emas tetap tidak kesampaian. Badan sudah ibarat kata Malaysian... koyak. Kalah pula kepada Chen Long di final.

"Tapi hati masa tu masih tidak mahu putus asa. Mahu cuba sekali lagi di Tokyo. Selepas itu, anda semua tahu apa yang berlaku. Minta maaf Malaysia. Sangat-sangat minta maaf. Tidak terdaya membawa balik pingat rahmat itu untuk rakyat Malaysia," katanya dalam laman Facebook miliknya.

Chong Wei memberitahu, dia bertekad meraih pingat emas selepas sekadar melepasi pusingan kedua dalam penampilan pertamanya pada Sukan Olimpik Athens 2004.

"Di Greece, Chong Wei tidak beraksi dengan cemerlang. Berjaya menewaskan pemain Hong Kong, Ng Wei di pusingan pertama tetapi kalah di pusingan kedua kepada Chen Hong.

"Temasya itu Malaysia pulang tanpa sebarang pingat. Masa itu, penerimaan kekalahan masih OK lagi. Sebab minda tahu, masih ada kejohanan lain boleh menang.

"Tetapi 'turning point' Chong Wei adalah apabila saya tengok perlawanan akhir kawan baik saya, Taufik Hidayat melawan Seung Mo. Tidak pernah saya tengok Taufik main sebegitu mati-matian! Lagilah tak pernah tengok Pak Taufik menitis air mata sebegitu di gelanggang.

"Saatnya Lagu Indonesia Raya dilaungkan dan bendera Indonesia dinaikkan semasa upacara hadiah, sekali lagi Taufik menangis dengan emosi kebanggaan. Chong Wei yakin saat itulah antara saat paling bangga Taufik dalam kerjayanya. Saat itu juga mengubah persepsi saya," ujarnya yang bersara pada Julai 2019.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!