X

Kindly register in order to view this article
!

Aktivis lapor SPRM, dakwa wujud penyelewengan dalam urusan tanah

Mohd Shukri ditemui di hadapan bangunan SPRM Indera Mahkota, Kuantan pada Jumaat.
A
A

KUANTAN - Seorang aktivis masyarakat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam urusan permohonan tanah di kawasan Indera Mahkota di sini.

Aktivis terbabit, Mohd Shukri Mohd Ramli mendakwa terdapat unsur penyelewengan dan rasuah membabitkan permohonan tanah dilakukan penjawat awam yang berstatus ketua jabatan di sebuah agensi kerajaan.

Menurutnya, tanah yang terletak di Indera Mahkota seluas kira-kira 3,300 meter persegi itu dianggarkan bernilai RM1 juta hingga RM2 juta.

Mohd Shukri berkata, beliau terkejut apabila menerima satu dokumen menunjukkan nama pegawai terbabit memohon tanah pada bulan Mei sebelum permohonan ketua jabatan itu telah diangkat untuk penilaian bagi mendapatkan kelulusan pada bulan berikutnya.

"Jadi, saya terpanggil untuk membuat aduan kepada SPRM supaya menyiasat bagaimana seorang penjawat awam yang masih bertugas ada kuasa untuk mengarahkan sesuatu kepada anak buahnya supaya boleh memohon tanah ini.

"Berdasarkan dokumen itu, beliau (ketua jabatan terbabit) tidak menggunakan proksi, sebaliknya menggunakan namanya sendiri dalam permohonan tersebut.

"Tindakan itu seperti mencabar rakyat marhaen yang terpaksa menunggu kelulusan tanah antara 30 dan 40 tahun. Itu pun proses permohonan belum tentu selesai sehingga ada dalam kalangan pemohon meninggal dunia menunggu kelulusan tanah," katanya ketika ditemui di hadapan bangunan SPRM di Indera Mahkota di sini pada Jumaat.

Mohd Shukri berkata, laporan kepada SPRM dibuat bukan kerana tidak puas hati atau disebabkan iri hati, sebaliknya mahu menghentikan perbuatan penyelewengan tanah melibatkan pegawai daripada jabatan kerajaan.

Ujarnya, isu membabitkan penyelewengan tanah sudah lama berlaku dan berakar umbi serta perlu ditangani segera.

"Saya bawa isu ini kepada SPRM bukan sebab dengki, khianat atau tidak puas hati, tetapi saya bawa perkara ini kerana saya lihat ada dokumen dan permohonan dibuat penjawat awam itu sahih apabila saya lakukan siasatan.

"Saya hendak bantu kerajaan. Saya tidak pernah kaitkan isu permohonan tanah ini dengan mana-mana pemimpin dan tiada niat untuk menjatuhkan sesiapa. Saya juga tidak mengenali dan tidak pernah berjumpa dengan pegawai tersebut," ujarnya.

Tegas beliau, laporan itu dibuat bagi meminta SPRM menyiasat pegawai terbabit atas tindakannya yang membelakangi undang-undang.

"Kerajaan Pahang juga diminta cakna isu tanah ini kerana ia boleh merosakan imej kerajaan apabila ada pegawai kerajaan yang tidak jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab ini," katanya yang menyerahkan dua dokumen kepada pegawai SPRM.

Ketika ditanya kemungkinan wujud kartel di pejabat pegawai kanan berkenaan, Mohd Shukri berkata, beliau mengesyaki perkara tersebut berlaku dan mendakwa pegawai terbabit membawa proksinya bertugas di jabatan sama sebaik sahaja ditukarkan.

“Saya difahamkan apabila dia berpindah, pegawai terbabit membawa sekali kartel dari daerah lain ke sini. Mereka ini mula memainkan peranan mencari tanah kosong atau tanah tersepit untuk digunakan bagi kepentingan peribadi,” dakwa beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!