Budak dua tahun ditemui lemas

Pencarian mangsa dilakukan di Kampung Kuala Apas, Tawau.
Pencarian mangsa dilakukan di Kampung Kuala Apas, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas di Sungai Kampung Kuala Apas dekat sini pada Khamis.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung oleh sepasukan bomba ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sungai terbabit kira-kira jam 12.25 tengah hari.

Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang pada Rabu ketika ibunya sedang membaiki reban ayam di kawasan rumah mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 9.11 malam Rabu.

Mangsa ditemui meninggal dunia di Sungai Kampung Kuala Apas, Tawau.
Mangsa ditemui meninggal dunia di Sungai Kampung Kuala Apas, Tawau.

Menurutnya, pasukan bomba membuat operasi pencarian di kawasan kejadian kira-kira satu kilometer dari kawasan mangsa dipercayai hilang.

Artikel Berkaitan:

"Hasil operasi menggunakan bot orang kampung, pasukan bomba berjaya menemui mangsa pada jam 12.25 tengah hari," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau ditamatkan pada jam 12.54 tengah hari," katanya.