Tiga ditahan cuba pecah masuk kilang, cederakan pemilik premis

Lokasi kilang yang dijadikan stor barangan kitar semula di Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang yang cuba dipecah masuk.
Lokasi kilang yang dijadikan stor barangan kitar semula di Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang yang cuba dipecah masuk.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Tiga lelaki ditangkap kerana mencederakan seorang pemilik kilang ketika cuba memecah masuk premis tersebut dalam kejadian di Bakar Arang, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia antara 29 dan 38 tahun itu ditahan pada Sabtu di sekitar Sungai Petani susulan pemilik kilang berkenaan membuat laporan polis.

"Kesemua suspek adalah penganggur, disyaki cuba memecah masuk kilang yang dijadikan stor barangan kitar semula dekat Kawasan Perusahan Ringan Bakar Arang yang berada di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Suspek disyaki menceroboh dengan cuba memecahkan pintu (premis) sekitar jam 5.30 pagi Khamis. Pemilik kilang yang menerima penggera melalui telefon bimbit terus melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ke lokasi. Kemudian berlaku pergelutan antara suspek dan pemilik kilang.

"Mangsa luka dan lebam akibat dipukul menggunakan kayu sebelum suspek melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ketiga-tiga suspek berjaya ditangkap pada Sabtu.

Menurutnya, dua suspek berusia 35 dan 38 tahun direman empat hari manakala seorang lagi yang berusia 29 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, kilang tersebut tidak beroperasi sejak Mei lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.