Lelaki maut selepas cuba samun enam warga Pakistan

Wan Azharuddin
Wan Azharuddin
A
A
A

SUNGKAI - Cubaan tiga lelaki menyamun sebuah rumah yang didiami enam lelaki warga Pakistan membawa padah apabila seorang daripada mereka ditemui mati dalam kejadian di Taman Okid Jaya di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu ditemui dengan kesan lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan dipercayai akibat pergelutan tersebut.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan terdengar bunyi pertengkaran dari arah rumah terbabit.

"Setibanya anggota di tempat kejadian mendapati seorang lelaki telah terbaring tidak sedarkan diri dalam rumah berkenaan sebelum disahkan mati oleh pasukan perubatan," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada itu, enam lelaki warga Pakistan berumur antara 27 hingga 38 tahun yang baru mendiami rumah berkenaan kira-kira dua bulan lepas, ditahan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, seorang daripada yang ditahan menyatakan ketika kejadian, dia bersama lima orang rakan yang lain sedang berbual-bual di ruang tamu sebelum didatangi tiga lelaki dengan memegang sebilah parang dan terus mahu menetak mereka,” katanya.

Beliau berkata seorang daripada warga Pakistan itu luka di tangan kiri ketika cuba menahan parang lalu berlaku pergelutan.

Wan Azharuddin berkata polis percaya motif kejadian berpunca daripada mangsa bersama dua rakannya yang masih bebas cuba melakukan samun dengan menggunakan sebilah parang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek baru dua bulan tinggal di rumah tersebut.

"Polis sedang mengenal pasti dua rakan suspek yang masih bebas. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin hadapan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.