Dana RM 90 juta: DHPP gesa pemfitnah mohon maaf

Kumaresan
Kumaresan
A
A
A

JITRA - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah menggesa pihak yang melemparkan fitnah berkaitan kemasukan dana RM90 juta dari UMNO ke dalam akaun Pas agar tampil memohon maaf dan memberi penjelasan secara terbuka.

Ketuanya, BK Kumaresan berkata, DHPP menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang mengesahkan tiada kemasukan dana tersebut ke dalam akaun Pas.

Katanya, kenyataan berkenaan sekaligus membuktikan Pas adalah satu-satunya parti sifar rasuah dan berintegriti di negara ini.

"Apa yang saya nampak, parti lawan tidak mempunyai modal lain untuk memburukkan Pas sejak PRU14 lalu.

"Sekarang ini walaupun lambat, kebenaran muncul juga dan saya yakin sokongan rakyat akan kembali kepada Pas," katanya.

Menurutnya, DHPP berharap SPRM tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang memberi tekanan dalam isu ini kerana rakyat akan sentiasa bersama SPRM.

"Bagaimanapun, kami berpuas hati kerana berada di tempat yang benar dan berjanji akan terus memberi sokongan kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM: Tiada duit RM90 juta masuk akaun Pas

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Mohd Shukri mengesahkan hasil siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan dana berkenaan ke dalam akaun Pas.

SPRM sebelum ini telah memanggil beberapa pemimpin Pas seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk membantu siasatan kes berkenaan.