Lebih 21 juta tonton Liga-M

Terengganu FC dan Penang FC, antara kelab yang bersaing pada saingan Liga-M musim ini. - Foto FB Penang FC
Terengganu FC dan Penang FC, antara kelab yang bersaing pada saingan Liga-M musim ini. - Foto FB Penang FC
A
A
A

PENYOKONG Liga Malaysia (Liga-M) melahirkan rasa bangga dengan jumlah tontonan siaran langsung saingan Liga Super yang telah mencatat lebih 21 juta sekali gus mengakui semakin teruja untuk menanti sepak mula pada 24 Julai ini.

Ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa ramai penyokong yang masih memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk terus menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi di platform yang disediakan iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi) pada ketika mereka tidak dibenarkan hadir ke stadium.

Menurut penyokong setia Kuala Lumpur City FC, Khairul Nizam Arifin, angka sebanyak 21,814,979 penonton yang menyaksikan perlawanan secara langsung itu pastinya bukan hanya hadir di kalangan penyokong Malaysia sahaja, malah turut sama telah menarik minat penyokong dari luar seperti Indonesia khususnya.

“Saya berpuas hati dengan jumlah yang telah diumumkan oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) semalam kerana ini menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang sebenarnya mengikuti dan menyokong bola sepak tempatan.

“Saya percaya, angka ini juga termasuk peminat dari luar Malaysia seperti Indonesia dan negara lain juga yang berminat untuk menonton aksi Liga Malaysia ini.

“Jadi, dengan angka yang kita ada ini membuktikan Liga Malaysia ini mempunyai nilai yang cukup tinggi dan tidak pernah hilang kerancakannya,” jelasnya.

Bagi penyokong Penang FC, Mohd Azhar Nordin pula, dia percaya dengan jumlah tontonan yang ada ini turut sama beri semangat positif kepada pasukan bagi membuktikan sokongan penyokong sentiasa ada di belakang mereka walaupun tidak berada di stadium.

Cuma apa yang diharapkannya adalah pegawai media pasukan akan sentiasa mengemaskini perkembangan pasukan di laman sosial untuk memastikan bahang aksi Liga Super akan dapat dirasai oleh semua penyokong sekali gus mengubati kerinduan untuk ke stadium.

Artikel Berkaitan:

“Boleh dikatakan semua penyokong tidak sabar lagi untuk menantikan Liga Malaysia bersambung kerana sudah lama berehat dan sekarang pun kita masih dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi tidak la rasa bosan sangat bila dapat tengok bola.

“Sebelum liga berehat, keterujaan kami pun memang memuncak untuk menanti perlawanan walaupun hanya menerusi unifi TV, dan bukan ke stadium, jadi kalau saya, satu jam awal memang dah sedia tunggu.

“Cuma memandangkan kita semua masih tidak bebas lagi untuk ke mana-mana, saya harap pihak media dan pengurusan akan sentiasa memberi perkembangan terkini pasukan di laman sosial supaya kita akan sentiasa rasa kehangatan untuk sepak mula nanti”, katanya.

Sementara itu, Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid pula tetap berharap khabar gembira akan diterima agar penyokong yang telah divaksin akan dibenarkan untuk hadir ke stadium semula bagi menyaksikan perlawanan.

Jelasnya, mereka akan sabar menanti sehingga lebih ramai penyokong memperoleh vaksin sekali gus dapat memeriahkan kembali stadium dalam keadaan yang lebih terkawal dan selamat.

“Kalau kita tengok, kejohanan di negara luar sudah menerima penonton hadir ke stadium dan bagaimana mereka memastikan kelancaran saingan itu berlangsung.

“Jadi, saya berharap kita akan dapat mencontohi mereka dan dalam masa yang sama, penyokong-penyokong lain perlu segera memperoleh vaksin agar kita semua dapat dibenarkan hadir ke stadium seperti dulu.

“Tetapi, sama ada di stadium atau hanya menyaksikan siaran langsung di unifi Tv, kami sebagai penyokong tetap menanti penuh debar aksi pasukan-pasukan pada baki saingan musim ini”, katanya.

Semalam, MFL telah mengumumkan sejumlah 21,814,979 penonton telah menyaksikan perlawanan siaran langsung bermula aksi pertama Liga Super pada 5 Mac sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei 2021.

Selain jumlah tontonan menerusi Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM, penonton juga berpeluang untuk menyaksikan perlawanan di stadium apabila mendapat kebenaran kerajaan bermula 2 April 2021 sehingga 9 Mei 2021 di mana kebenaran itu ditarik semula akibat peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Sepanjang tempoh itu, sejumlah 62,318 penonton hadir ke stadium menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier di mana kapasiti penonton dalam setiap perlawanan dihadkan mengikut kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).