Solidariti anak-anak seni

Kebanyakan penggiat seni terpaksa melakukan kerja secara maya dan tidak kurang juga yang masih terkais-kais mencari punca pendapatan lantaran kekangan ruang pekerjaan. Gambar hiasan 123rf.
Kebanyakan penggiat seni terpaksa melakukan kerja secara maya dan tidak kurang juga yang masih terkais-kais mencari punca pendapatan lantaran kekangan ruang pekerjaan. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

PELAKSANAAN kawalan pergerakan melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) sejak tahun lalu yang on dan off menyebabkan ramai pihak terpaksa duduk di rumah atau mengubah perancangan.

Dalam industri seni sendiri, kebanyakan penggiat seni terpaksa melakukan kerja secara maya dan tidak kurang juga yang masih terkais-kais mencari punca pendapatan lantaran kekangan ruang pekerjaan

Seperti dilaporkan media pada 28 Jun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan bagi membantu lebih 8,000 penggiat seni yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu antaranya insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu. Perdana Menteri berkata demikian ketika Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Walaupun kerajaan telah membuat pengumuman bantuan, namun sebagai anak seni, terdapat sekumpulan anak seni yang telah mengambil inisiatif sendiri membantu anak seni yang lain. Semangat kekitaan sangat diperlukan, sesuai dengan tagline #kitajagakita #kitabantukita.

Justeru, tidak hairanlah sejak beberapa hari lalu, media sosial dipenuhi dengan poster Solidariti Anak Seni dan Apa Khabar Anak Seni? Difahamkan, ia adalah kempen yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan bertanya khabar antara pekerja Industri Kreatif (IK) dalam suasana sukar ketika ini.

Harus diingat bahawa anak seni bukan sahaja golongan artis seperti penyanyi, pelakon, pengacara atau penyampai radio yang sering kita baca kisah tentang hidup mereka yang glamor. Hakikat sebenar skop anak seni lebih besar daripada itu.

Anak seni termasuklah mereka yang berada di belakang tabir seperti pengarah, penulis skrip, juru mekap, juru lampu, juru teknik, juru audio, ahli muzik dan semua yang terlibat dalam pembikinan produk seni.

Artikel Berkaitan:

Mewah

Jadi, janganlah kita pukul sama rata dengan mengatakan bahawa semua artis hidup mewah, mempunyai bisnes, terima royalti, kontrak sebagai duta, IG review dan sebagainya.

Apa yang kita saksikan itu hanyalah sebahagian sahaja. Ya, betul ada yang masih hidup senang, ada rumah besar dan kereta mewah. Itu adalah rezeki mereka ketika zaman sebelum pandemik.

Namun, yang kita terlupa atau tidak perasan adalah pekerja IK di belakang tabir. Mereka mendapat gaji berdasarkan job. Jika ada job, maka adalah gajinya. Jika job semakin lama berkurangan, maka tiadalah punca pendapatan.

Menurut sukarelawan Solidariti Anak Seni yang merupakan penulis skrip, Azrie Izham Hamzah, kempen yang dijalankan rakan-rakannya itu adalah sumbangan ikhlas daripada anak seni untuk anak seni.

Jelasnya, anak seni mempunyai lingkungannya sendiri. Oleh itu, mereka lebih mengetahui siapa yang lebih memerlukan bantuan dan pertolongan bagaimana yang diharapkan.

Prinsip mereka adalah tidak membawa kamera – datang, serah sumbangan dan balik kerana mereka tidak mahu anak seni yang lain terus dijadikan bahan bagi tujuan promosi.

Sementara itu, bagi Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB) Fadzil Teh pula, walaupun ketika ini penggambaran tidak dibenarkan, namun beliau tidak akan membiarkan krewnya dalam kesusahan. Beliau memberi wang pendahuluan kepada semua krew di bawah jagaannya supaya tidak ada yang kelaparan.

Pun begitu, sebenarnya matlamat #ApaKhabarAnakSeni bukanlah meminta bantuan. Sebaliknya, keutamaan mereka mahu diberi peluang kembali bekerja dengan segera supaya dapat meneruskan kehidupan tanpa mengharap bantuan sesiapa.

Berikan penggiat seni vaksin, tetapkan SOP dan mereka akan patuhi sepanjang menjalani aktiviti seni. Mudah-mudahan urusan tersebut dapat dipercepatkan dan semua orang dapat kembali bekerja semula seperti sedia kala mengikut garis panduan. Kita juga rindukan hiburan daripada anak tempatan.

* Meen Tahrin ialah Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian