X

Kindly register in order to view this article
!

Fama sasar RM400,000 My Best Buy

Samudin (dua,kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelanggan ketika program My Best Buy dan jualan terus dari ladang peringkat negeri di bangunan UTC, di sini, hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri menyasarkan peningkatan hasil jualan My Best Buy tahun ini sebanyak RM400,000 berbanding RM371,477 pada tahun lalu.

Pengarahnya, Che Samudin Hassan, berkata, peningkatan kira-kira 20 peratus itu dijangka dapat dicapai dengan penambahan bilangan penganjuran daripada 58 kali pada tahun lalu kepada 60 kali dengan melibatkan beberapa lokasi tumpuan ramai selain lokasi tetap seperti UTC Melaka, Wisma Negeri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, UiTM Jasin dan UiTM Bandaraya.

Menurutnya, setakat ini terdapat 60 peserta program itu dan dalam tempoh bermula hingga Februari ini My Best Buy Melaka berjaya mencatatkan nilai jualan RM70,000 dengan mengadakan pelbagai program yang sentiasa mendapat sambutan daripada pengguna.

Katanya, usaha berterusan ini bukan sahaja membudayakan bidang keusahawanan dengan melibatkan 80 peratus usahawan dari negeri ini sekali gus dapat mempromosikan produk Industri Kecil Sederhana (IKS), hasil-hasil pertanian, makanan popular dan keunikan negeri kepada pengunjung luar serta pelbagai aktiviti menarik yang disusun.

"Kita akan terus meluaskan lagi lokasi jualan bagi program ini dengan memanjangkan tempoh dua hari berbanding sehari sebelum ini, dan membolehkan golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah dapat membeli keperluan harian menerusi program My Best Buy dengan harga berpatutan.

"Seperti di lokasi UTC sering menjadi tumpuan ramai dan kita telah menetapkan UTC sebagai tempat tetap untuk menjayakan program My Best Buy secara bulanan," katanya.

Che Samudin berkata demikian ketika pelancaran program My Best Buy dan jualan terus dari ladang peringkat negeri di bangunan UTC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Pembangunan Usahawan) FAMA negeri, Marsahid Maarof dan Pengurus UTC negeri, Siti Aisyah Maarof.

Jelasnya, dengan penganjuran program ini pengguna berpeluang mendapat potongan harga antara lima hingga 20 peratus bagi barangan segar dan basah seperti ikan, ayam, sayuran dan buah-buahan.

"Kita juga menggalakkan penglibatan usahawan karavan Tani Fama, lori sejuk beku dan jualan terus dari ladang akan diutamakan kerana objektif kita untuk membantu rakyat di kawasan bandar bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Pada program itu kira-kira 50 buah gerai jualan disediakan kepada orang ramai termasuk pengunjung UTC yang akan berakhir esok.