X

Kindly register in order to view this article
!

Dalang sindiket pengumpulan kad ATM ditahan

PDRM
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah menahan empat individu termasuklah dua wanita disyaki dalang pengumpulan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam Op Helang di Alor Setar pada 2 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, kesemua mereka ditahan susulan laporan polis daripada seorang pegawai penjara pada 28 Januari lalu.

Menurut beliau, mangsa membuat laporan bahawa diperdaya suspek yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kononnya memiliki tunggakan cukai sebanyak RM38,000 atas nama sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

"Suspek telah meminta maklumat akaun mangsa menerusi aplikasi MYBNM dan mangsa telah menyerahkan empat digit nombor yang tertulis di kad ATM Bank Islam milik mangsa.

"Mangsa telah buat semakan akaun dan dapati wang dalam akaun Bank Islam milik mangsa sebanyak RM38,000 telah tiada," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Elias berkata, ekoran laporan tersebut, JSJK Kedah telah berjaya menangkap dua lelaki dan dua wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengumpulan kad ATM untuk didaftarkan ke akaun Bigpay dan Yippiepay.com.

Tambah beliau, pihak polis juga telah merampas lima beg pelbagai jenis, satu keping kad pengenalan, lima keping kad ATM, tiga unit telefon bimbit dan satu set anak kunci rumah.

"Hasil soal siasat mendapati sindiket ini akan menipu mangsa secara dalam talian dengan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek," katanya.

"Selepas itu, akaun Bigpay dan Yippiepay.com akan digunakan untuk memindahkan wang yang ditipu ke dalam akaun pihak ketiga," katanya.

Katanya, kertas siasatan telah diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak panik dan melayan panggilan telefon yang tidak dikenali, ataupun muat turun aplikasi yang tidak diketahui.

Elias berkata, pihaknya turut menasihatkan orang awam supaya tidak memberi butiran peribadi kepada orang yang tidak dikenali sebaiknya semak terdahulu daripada sumber yang sah.

"Selain itu, sila berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan penipuan penyamaran oleh pihak sindiket ini yang telah menyamar daripada pihak LHDN, PDRM, mahkamah, bank mahupun badan penguatkuasa yang lain," katanya.

Orang awam diminta membuat semakan terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID di aplikasi Playstore bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan modus operandi jenayah komersil terkini melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/, https://www.facebook.com/JSJKPDRM/ dan https://m.facebook.com/jsjkked/


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!