Individu, NGO agih bantuan besar-besaran perlu kebenaran PKOB

Abdullah (tengah) melakukan gimik serahan kepada wakil-wakil polis daerah untuk membawa pek makanan berkenaan pulang ke lokasi masing-masing untuk diedarkan.
Abdullah (tengah) melakukan gimik serahan kepada wakil-wakil polis daerah untuk membawa pek makanan berkenaan pulang ke lokasi masing-masing untuk diedarkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengingatkan mana-mana individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengagihkan bantuan makanan secara berkelompok agar mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, langkah tersebut amat penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini semasa proses agihan berlangsung.

“Mana-mana pihak atau individu yang mahu membuat agihan makanan secara berkelompok atau orang yang memerlukan itu datang ke satu tempat yang dikhaskan, melibatkan jumlah yang ramai, maka mereka (penganjur) perlu mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

“Boleh maklumkan juga kepada pihak kami supaya kami dapat lakukan pemantauan dan apa yang penting, mereka tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan pek makanan untuk golongan yang memerlukan daripada wakil tujuh buah syarikat perindustrian makanan di negeri ini yang diketuai oleh Pengurus Perindustrian Makanan Dan Minuman Layang-Layang, Han Lian Kuan.

Sementara itu, mengulas mengenai sumbangan pek makanan berkenaan, Abdullah berkata, pihaknya menerima 1,000 pek makanan seperti beras, bihun, telur dan makanan asas yang lain melalui serahan berkenaan.

Menurutnya, 1,000 pek makanan tersebut akan diserahkan kepada 10 daerah melibatkan 100 pek setiap daerah dan akan diagihkan kepada ketua polis balai di kawasan tersebut untuk tujuan agihan.

“Kita akan agih terus hari ini dan kami juga mendapat kerjasama daripada penghulu kampung bagi memudahkan lagi urusan. Insya-ALLAH ia akan sampai kepada tangan penerima secepat mungkin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai Op Bantu, Abdullah berkata, sehingga kini, pihaknya telah mengagihkan 656 bakul makanan sejak 7 Julai lalu dan sumbangan berkenaan akan berterusan dari semasa ke semasa.