Huru-hara selepas bekas Presiden disumbat ke penjara

Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dipenjarakan selama 15 bulan kerana menghina mahkamah di negara tersebut. - Foto AFP
Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dipenjarakan selama 15 bulan kerana menghina mahkamah di negara tersebut. - Foto AFP
A
A
A

BEKAS Presiden Afrika Selatan yang popular dalam kalangan rakyat miskin, Jacob Zuma telah dipenjarakan selama 15 bulan setelah didapati bersalah kerana menghina mahkamah di negara tersebut.

Beliau yang berusia 79 tahun dihukum penjara pada 28 Jun lalu oleh Mahkamah Perlembagaan kerana gagal untuk mematuhi arahan supaya hadir di hadapan para penyiasat sebuah suruhanjaya antirasuah bagi memberikan keterangan berhubung skandal rasuahnya.

Bagaimanapun, beliau yang pernah memerintah selama sembilan tahun di Afrika Selatan dan meletakkan jawatan pada tahun 2018 pada mulanya enggan menyerah diri kepada pihak berkuasa negara itu untuk menjalani hukuman tersebut.

Namun, pada Khamis lalu, beliau menukar keputusan yang dibuatnya apabila menyerah diri kepada polis untuk menjalani hukuman penjara di sebuah pusat pemulihan di sebuah bandar kecil di wilayah KwaZulu-Natal.

Ia merupakan kali pertama kali seorang bekas Presiden negara itu dihukum penjara.

Zuma pernah dipenjarakan selama 10 tahun di sebuah penjara di Pulau Robben yang terletak enam kilometer dari bandar raya Cape Town kerana menentang dasar-dasar anti-apartheid ketika negara tersebut dikuasai oleh rejim berkulit putih yang memerintah di negara yang bermajoriti penduduk berkulit hitam.

Kerjaya politiknya mula meningkat naik setelah Afrika Selatan bebas daripada dasar anti-apartheid sehingga beliau memegang jawatan Presiden parti pemerintah iaitu Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

Beliau juga dipilih menjadi Presiden Afrika Selatan dari tahun 2009 tetapi terpaksa meletakkan jawatan pada tahun 2018 disebabkan oleh skandal rasuahnya.

Artikel Berkaitan:

Namun, pada Mei lalu, Zuma mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan-dakwaan rasuah, penipuan, melakukan pengubahan wang haram dan kegiatan haram melibatkan perjanjian yang bernilai lebih AS$2 bilion (RM4 bilion) untuk membeli senjata dari Eropah ketika beliau menjadi Timbalan Presiden Afrika Selatan.

Sungguhpun begitu, Zuma kekal popular dalam kebanyakan penduduk miskin di Afrika Selatan terutamanya ahli-ahli akar umbi parti ANC yang menganggapnya sebagai seorang pembela golongan yang tidak bernasib baik.

Bagaimanapun, ekoran keputusan memenjarakan bekas Presiden itu, lebih 71 orang sudah terbunuh apabila keganasan mula tercetus sejak Jumaat lalu. Situasi kalut itu menyebabkan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menempatkan anggota-anggota tenteranya untuk memulihkan keadaan keselamatan di negara tersebut.

Keganasan yang lebih besar turut berlaku di bandar raya Johannesburg dan wilayah KwaZulu-Natal.

Tentera negara itu menghantar kira-kira 2,500 askar bagi membantu pasukan polis bagi memulihkan keadaan di kawasan-kawasan yang dilanda keganasan tersebut.

Penduduk yang terbunuh itu pula adalah disebabkan kejadian-kejadian yang berkaitan dengan insiden rempuhan ekoran perbuatan penduduk memecah masuk kedai-kedai dan akibat terkena tembakan.

Terdapat juga penduduk mati kerana letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dilakukan oleh penduduk sendiri bagi tujuan mendapatkan wang tunai.

Imej-imej yang disiarkan di televisyen juga menunjukkan puluhan wanita memasuki sebuah kedai daging di Soweto dan keluar dengan membawa kotak-kotak berisi daging beku manakala polis kemudian tiba dan melepaskan peluru getah sebelum ketibaan askar-askar.

Di bandar Alexandra, utara Johannesburg, ratusan orang keluar dan masuk sebuah pusat beli-belah dan mengambil pelbagai jenis barangan tanpa membuat pembayaran manakala di Pietermaritzburg, ibu negeri wilayah KwaZulu-Natal, sejumlah orang membawa lari kotak-kotak sejuk ke dalam belukar ke barisan kereta yang diparkir berdekatan dengan sebuah lebuh raya.

Sejumlah penduduk menziarah di pusat beli-belah Jabulani di daerah Soweto, utara bandar raya Johannesburg.- Foto AFP
Sejumlah penduduk menziarah di pusat beli-belah Jabulani di daerah Soweto, utara bandar raya Johannesburg.- Foto AFP

Di Durban pula, imej-imej di televisyen menunjukkan ratusan orang menjarah sebuah pusat beli-belah dan melarikan kotak-kotal besar yang berisi barangan.

Adakah kejadian itu disebabkan oleh bekas Presiden itu dipenjarakan?

Beberapa orang penjarah memberitahu AFP bahawa mereka melakukan perbuatan itu disebabkan oleh kemiskinan dan tidak ada mana-mana pihak yang menghalang mereka daripada berbuat demikian.

"Saya tidak mengambil peduli tentang Zuma. Beliau seorang tua yang korup dan sepatutnya dipenjara," katanya seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja di sebuah pusat membasuh kenderaan seperti dilaporkan pleh AFP

Seorang penganggur, Karabo Mpkone pula berkata, beliau akan menjual barang-barang yang tidak digunakannya selepas menjarah barangan bagi mendapatkan wang.

Kejadian menjarah itu menyebabkan seorang pemilik sebuah perniagaan, Thandie Jonhson, 55, menangis selepas melihat rak-rak di kedainya yang menjual aksesori untuk sambutan majlis-majlis kosong di pusat beli-belah Diepkloof di Soweto.

"Kenapa? Kenapa? Bolehkan seseorang memberitahu saya (kenapa kedainya dijarah). Saya tiada apa-apa. Saya tiada wang pencen. Tiada apa-apa," kata wanita tersebut seperti dilaporkan oleh AFP.

Dalam keganasan yang berlaku di negara tersebut, lebih 1,000 orang telah ditangkap walaupun ribuan orang terlibat menjarah gudang-gudang dan pusat beli-belah. - Agensi