X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Kerajaan tubuh RCI Tabung Haji

A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hasil persetujuan mesyuarat jemaah menteri yang bermesyuarat pada Rabu.

Menurut beliau, penubuhan RCI itu hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

“Antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh jemaah menteri adalah pertamanya, skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit Lembaga TH dari tahun 2014 hingga tahun 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

“Kedua, menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

UMNO sebelum ini pernah mendesak kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan institusi tersebut.

Ismail Sabri yang ketika itu menjadi Ketua Pembangkang menyokong cadangan berkenaan agar RCI ditubuhkan untuk menyiasat Lembaga TH.

Beliau turut dilaporkan menggesa agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat Lembaga TH bagi menyingkap maklumat tentang dakwaan penyelewengan dalam institusi itu.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada ketika itu beranggapan RCI Lembaga TH tidak perlu kerana kerajaan berjaya memulihkan keadaan institusi tersebut.

Ismail Sabri menambah, terma ketiga adalah mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung, jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus Lembaga TH.

“Terma keempat pula mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Katanya, perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan Lembaga TH.

“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan Lembaga TH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” tegasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!