Perjanjian pelarasan pinjaman kepada peneroka

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat adalah bersifat adil kepada peneroka dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Felda dalam hantaran di laman rasmi Facebook memaklumkan lembaga itu bersetuju menghapuskan sebahagian hutang peneroka setakat 31 Disember 2019.

"Penghapusan ini adalah berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda.

“Peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat menghantar hasil sepenuhnya kepada Felda,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan peneroka juga perlu membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan dan melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan Felda.

Menurut Felda, objektif utama inisiatif perjanjian pelarasan pinjaman peneroka yang diumum sempena Hari Peneroka Felda 2021 itu adalah bagi menerapkan kebersamaan Felda dan peneroka melalui satu sistem pengurusan ladang yang lestari.

Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut secara langsung akan memberi manfaat kepada warga peneroka terutama dari segi pendapatan.

Kenyataan tersebut juga memaklumkan pengurusan di peringkat wilayah dan rancangan itu siap siaga membantu warga peneroka yang mempunyai kekeliruan dengan peneroka boleh menghubungi di laman sesawang aduan Felda di felda.spab.gov.my atau aplikasi WhatsApp 012-2594 214.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu.- Bernama