Harapan tinggi bawa pulang pingat Olimpik

Ismail Sabri (tengah) bersama Reezal Merican (dua dua dari kiri), Mohamad Norza (dua dari kanan) ketika Majlis Amanat Perdana Kontinjen Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Putrajaya pada Selasa.
Ismail Sabri (tengah) bersama Reezal Merican (dua dua dari kiri), Mohamad Norza (dua dari kanan) ketika Majlis Amanat Perdana Kontinjen Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

LEBIH 32 juta rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi kepada barisan atlet negara untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, doa dan harapan seluruh rakyat Malaysia turut ditagih bagi mengiringi perjalanan kontinjen Malaysia sepanjang beraksi di bumi Tokyo nanti.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi walaupun saya tidak terlibat secara langsung dari segi latihan yang mereka lalui sebelum ini. Pihak kerajaan sudah cuba memberikan ruang yang terbaik untuk mereka mengadakan latihan walaupun dalam era Covid-19 ini.

“Walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kerajaan benarkan mereka adakan latihan secara kuarantin sejak beberapa bulan lepas.

“Saya harap peluang yang diberikan itu digunakan sebaik mungkin untuk melengkapkan diri mereka untuk bertarung di Tokyo dan harapan kita tinggi untuk meraih pingat,” katanya dalam sidang media secara maya di Putrajaya pada Selasa.

Beliau sebelum itu memberikan kata-kata semangat kepada kontinjen Malaysia dalam Majlis Amanat Perdana Kontinjen Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Lee Chong Wei.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, setiap atlet negara tidak bersendirian dalam menghadapi Olimpik kali ini walaupun berada dalam norma baharu.

Artikel Berkaitan:

“Kurang daripada tempoh 10 hari menuju ke Tokyo, saya dapat merasakan semua rakyat Malaysia sehati sejiwa memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet negara untuk meraih pencapaian terbaik dalam sukan paling berprestij di dunia ini.

“Sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia membuktikan para atlet tidak bersendirian dalam perjuangan mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Sokongan padu ini juga adalah bukti bahawa sukan adalah instrumen perpaduan kaum yang melangkaui agama, bangsa dan pegangan politik. Melalui sukan, perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat dipupuk.

“Kita mempunyai harapan tinggi kepada atlet kita sama ada Sukan Olimpik atau Paralimpik untuk memastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi Tokyo,” katanya.

Dalam edisi Sukan Olimpik kali ini, seramai 30 atlet negara layak untuk mengibarkan cabaran negara dengan harapan pingat disandarkan kepada beberapa sukan utama seperti berbasikal, badminton dan terjun.