Tiga lokaliti di Sabah, satu di Pahang dikenakan PKPD

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Tiga lokaliti di Sabah dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 15 hingga 28 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti terbabit melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga, Sandakan; Kampung Telaga dan Kampung Pituru, Pitas, Sabah dan Felda Jengka 8, Jerantut, Pahang.

Menurutnya, enam lokaliti ditamatkan PKPD yang melibatkan Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu; Kampung Balung Cocos, Tawau dan Kampung Jaya Baru, Kunak, Sabah.

“Dua lokaliti di Wilayah Kuala Lumpur yang ditamatkan PKPD melibatkan PPR Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa, manakala satu lokaliti di Kelantan membabitkan Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 416 individu ditahan, 372 dikompaun dan 44 direman bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Isnin.

“Seramai 74 individu gagal merekod butiran diri masuk premis, tiada penjarakan fizikal (35), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (97), tidak memakai pelitup muka (58), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (43), membawa penumpang berlebihan (39), premis gagal patuhi arahan (6) dan lain-lain (64),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Operasi Benteng (Op Benteng) semalam (Isnin) telah menangkap 47 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak sebuah bot atau kapal dan sebuah kenderaan darat turut dikesan di perairan negara.

Artikel Berkaitan:

“Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 940 Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Ia melibatkan Op Penawar (ATM, PDRM dan Rela) sebanyak 886 SJR, Op Benteng PDRM sebanyak 45 SJR dan Op Benteng Aksem sebanyak sembilan SJR.

Sementara itu, katanya, sebanyak 161 operasi disinfeksi telah dilaksanakan di seluruh negara yang merangkumi 70 zon merah, zon jingga (6) dan zon kuning (4) pada Isnin.

“Operasi disinfeksi ini melibatkan 955 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 263 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 172 buah jentera JBPM.

“Operasi sanitasi melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR, tempat awam, pasaraya dan bangunan kerajaan," katanya.

Menurutnya, semalam (Isnin), seramai 478 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 248,019 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 83 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,860 individu telah dikuarantin dan 234,988 orang dibenarkan pulang manakala 3,171 lagi dibawa ke hospital,” katanya.