Jemaah haji digesa terima vaksin sedia ada

Zulkifli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Musa’adah 3.0 di Surau Al-Faizin, Taman Serai Permai, di sini, pada Selasa.
Zulkifli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Musa’adah 3.0 di Surau Al-Faizin, Taman Serai Permai, di sini, pada Selasa.
A
A
A

BAGAN SERAI - Jemaah haji di negara ini digesa menerima vaksin sedia ada yang diberikan oleh kerajaan susulan pengiktirafan lebih banyak jenis vaksin oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kesempatan itu harus diambil oleh jemaah umrah dan haji untuk menerima vaksin yang dibekalkan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia akan menggunapakai pengumuman tersebut sebagai kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi.

"Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana beri ruang luas kepada penerima vaksin. Saya mengambil kesempatan kepada bakal jemaah khususnya umrah dan haji untuk mengambil vaksin yang telah diberikan kerajaan Malaysia bagi menghadapi Covid-19.

"Dengan kenyataan dikemukakan Arab Saudi, saya merasakan tak ada lagi masalah untuk kita ambil sinovac bagi menyekat alasan untuk diizinkan ke Makkah," katanya kepada pemberita Program Musa’adah 3.0 di Surau Al-Faizin, Taman Serai Permai, di sini, pada Selasa.

Hadir sama pada program tersebut, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Zulkifli berkata, setakat ini tiada perbincangan lanjut dengan kerajaan Arab Saudi mengenai syarat terkini menunaikan haji dan umrah.

Menurutnya, kerajaan Malaysia akan sentiasa mengemaskini sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, kerajaan Arab Saudi memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi memasuki negara itu.

Menerusi perkembangan terbaharu itu, Arab Saudi kini mengiktiraf enam jenis vaksin bagi Covid-19 iaitu Pfitzer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Jansses, Sinopharm dan Sinovac.

Sementara itu, mengenai program Musa’adah 3.0, Zulkifli berkata, pihaknya menyumbang lebih 200 kotak makanan dan beg sekolah untuk kanak-kanak terpilih.

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi iktiraf vaksin Sinovac: Zulkifli