X

Kindly register in order to view this article
!

Parti Suu Kyi 'pancing' sokongan etnik Rohingya

Lebih satu juta pelarian Rohingya mendiami Cox's Bazar di Bangladesh.
A
A

SEJUMLAH bekas Ahli-Ahli Parlimen Myanmnar daripada parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) kini mengalu-alukan penglibatan etnik Rohingya supaya menyertai perjuangan mereka bagi menyingkirkan kerajaan junta tentera di negara tersebut.

Pada bulan lalu, mereka mengundang etnik Rohingya menyertai perikatan mereka yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Kebangsaan untuk bersama-sama menamatkan pemerintahan junta tentera yang bertindak merampas kuasa pada Februari lalu.

Tentera negara tersebut bukan sahaja merampas kuasa tetapi juga menahan ketua NLD iaitu ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin NLD sehingga menyebabkan protes prodemokrasi yang besar di negara tersebut,

Protes demokrasi itu menyebabkan hampir 1,000 penduduk awam terbunuh disebabkan pihak berkuasa keselamatan negara tersebut melepaskan tembakan ke arah orang awam bagi mematahkan tunjuk-tunjuk perasaan di negara tersebut.

Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi kini masih ditahan oleh junta tentera negara itu.- AFP
Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi kini masih ditahan oleh junta tentera negara itu.- AFP

Bekas-bekas ahli parlimen negara tersebut yang membentuk Kerajaan Perpaduan Kebangsaan kini hidup dalam buangan dan berjanji untuk membawa balik entik Rohingya itu yang sebelum ini melarikan diri ke Bandladesh ketika NLD memerintah Myanmar.

Kira-kira hampir sejuta etnik tersebut melarikan diri dan tinggal di kem-kem pelarian di Bangladesh selepas pihak tentera melakukan serangan ke atas komuniti mereka di negeri Rakhine, barat negara tersebut.

Kumpulan bekas ahli-ahli Parlimen itu berjanji untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada etnik Rohingya yang beragama Islam yang telah berdekad-dekad tidak mendapat hak seumpama itu daripada pemerintah negara berkenaan ekoran diskriminasi ke atas mereka yang sudah berlanjutan sejak sekian lama.

Ketika negara itu diperintah oleh parti NLD, kerajaan awam pimpinan Suu Kyi 'melabelkan' etnik itu sebagai kumpulan Muslim yang tinggal di Rakhine di negara yang mempunyai majoriti etnik Bamar beragama Buddha itu.

Namun, perasaan curiga dalam kalangan etnik Rohingya masih wujud di Myanmar kerana mereka dianggap sebagai pendatang dari Bangladesh dan telah dinafikan kewarganegaraan, hak-hak dan akses untuk mendapatkan banyak kemudahan di negara tersebut.

Pemimpin junta tentera, Jeneral Ming Aung Hliang kini ialah Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar yang mengetuai operasi pada tahun 2017 bagi memerangi kumpulan bersenjata baharu Rohingya yang menjadi penentang kepada pihak tentera iaitu Tentera Penyelamat Rohingya Arakan.

Hliang juga enggan menggunakan perkataan Rohingya bagi merujuk kepada penduduk Muslim yang didakwa berasal dari Bangladesh itu sejak turun-temurun.

Tambahan pula, dalam senarai 32 anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan Kebangsaan itu tidak ada pun seorang pun perwakilan daripada etnik Rohingya menyertainya.

Kerajaan Perpaduan Kebangsaan itu ditubuhkan pada April lalu dan mengekalkan Suu Kyi sebagai Kauselor Negara, U Win Myint sebagai Presiden dan Mahn Winn Khaing Thann sebagai Perdana Menteri.

Namun, Suu Kyi masih ditahan oleh junta tentera dan dihadapkan dengan pelbagai tuduhan antaranya ialah melanggar undang-undang kerahsiaan, menerima rasuah dan melanggar peraturan Covid-19 serta mengimport walkie-talkie secara haram.

Dakwaan itu dikenakan ke atas ketua NLD tersebut selepas pihak tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara berkenaan pada November tahun lalu yang menyaksikan parti pimpinan Suu Kyi menang besar dan boleh membentuk kerajaan.

Kebanyakan penduduk awam di Myanmar tidak bersimpati dengan penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya.

Selepas askar-askar di negara tersebut dituduh melakukan pembunuhan kaum, Suu Kyi telah berlepas ke bandar The Hague, Belanda untuk mempertahankan tindakan jeneral-jeneral tentera yang didakwa terlibat dalam kejadian tersebut di sebuah mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Etnik Rohingya masih tidak diberikan taraf kewaganegaraan Myanmar walaupun telah hidup selama berdekad-dekad di negara itu. - Foto AFP
Etnik Rohingya masih tidak diberikan taraf kewaganegaraan Myanmar walaupun telah hidup selama berdekad-dekad di negara itu. - Foto AFP

San Yee iaitu ibu kepada empat orang anak dan menerima wang sara hidup yang dihantar oleh suaminya yang bekerja di Malaysia berkata kepada AFP: "Kami (etnik Rohingya) tidak boleh meletakkan kepercayaan terhadap mereka (Kerajaan Perpaduan Kebangsaan) kerana kami telah ditindas sejak sekian lama."

Beliau merupakan penghuni kem pelarian Rohingya di Thet Kay Pyin, negeri Rakhine yang dibina untuk etnik tersebut selepas rumah-rumah mereka dibakar semasa pertempuran dengan etnik Rakhnie beragama Buddha pada tahun 2012.

"Saya mahu balik (ke tapak rumahnya) dan hidup seperti sebelum ini (pertempuran dengan etnik Rakhine). Itulah harapan saya. Tetapi bilakah harapan kami akan menjadi kenyataan? Adakah selepas kami meninggal dunia?" soalnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Bagaimanapun, seorang lagi penghuni di kem pelarian itu, Tun Hla berkata, jika kami (etnik Rohingya) diberikan hak-hak kami, kami akan bekerjasama dengan pihak tentera, parti NLD atau Kerajaan Perpaduan Kebangsaan," katanya.

Seorang lagi penghuni di kem tersebut, Win Maung berkata, beberapa hari selepas rampasan kuasa tentera pada Februari lalu, askar-askar datang ke kem pelarian tersebut dan mengadakan mesyuarat dan meminta kami supaya bertenang.

"Tetapi bila kami bertanya tentang hak kami, mereka (tentera) bercakap dengan cara yang mengancam. Mereka (pihak tentera) berkata kami ialah Benggali bukannya Rohingya dan mereka mahu menembak kami, " katanya.

Benggali ialah perkataan yang digunakan untuk etnik Rohingya di Myanmar yang mendakwa mereka datang dari Bangladesh. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!