X

Kindly register in order to view this article
!

Penjual slot janji temu vaksin bakal dikenakan tindakan: Khairy

KHAIRY JAMALUDIN - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan terus mengambil tindakan bagi membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada orang awam.

Menurutnya, Jawatankuasa Integriti dan Siasatan juga ditubuhkan di bawah CITF dianggotai PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM).

“Satu garis panduan pemantauan vaksin dan penyediaan “standby list” juga telah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

“Selain memperkemaskan lagi pemantauan di PPV melalui garis panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khairy berkata, PPV mengambil langkah segera apabila menerima laporan kehadiran individu positif Covid-19 seperti menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit dan melaksanakan ujian saringan ke atas para petugas.

Jelasnya, setiap PPV juga diarahkan untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai yang melakukan ujian saringan untuk bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi tidak mendapat keputusan.

“Orang ramai diseru untuk mengamalkan semua SOP yang telah ditetapkan, terutamanya memastikan penjarakan fizikal di PPV yang mana amat penting dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Khairy memaklumkan, siasatan awal mengenai dakwaan suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput mendapati bahawa perkara tersebut adalah tidak benar.

Tambah beliau, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama.

“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa. Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terpedaya jualan vaksin Covid-19 dalam talian: Polis


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!