Setiu diisytihar Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu

Dr Azman (tiga dari kiri) menunjukkan ubi vitato yang ditanam peserta tanaman di tanah seluas 28 hektar di Setiu pada Isnin.
Dr Azman (tiga dari kiri) menunjukkan ubi vitato yang ditanam peserta tanaman di tanah seluas 28 hektar di Setiu pada Isnin.
A
A
A

SETIU - Kerajaan negeri Terengganu mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu sekali gus menjadi salah satu pemangkin kepada ekonomi negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu dan satu jawatankuasa khas turut dibentuk.

Menurutnya, Jawatankuasa Bertindak Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu yang dipengerusikan Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai ketua jabatan berkaitan diwujudkan bagi menggerakkan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.

"Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan, mengenal pasti tanah-tanah untuk dimasukkan dalam program ini dan memproses permohonan melibatkan program Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penuaian Ubi Vitato di pusat tanaman ubi vitato secara berkelompok di tanah seluas 28 hektar di Kampung Banggol, Permaisuri, di sini pada Isnin.

Dr Azman berkata, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu dibuat atas beberapa faktor antaranya daerah ini mempunyai kira-kira 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan bagi menjana pendapatan rakyat.

Selain itu katanya, Setiu juga mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan dalam sesuatu kawasan termasuk tanah kerajaan atau tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan pertanian.

"Pada ketika ini terdapat 2,104 hektar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 63 Kanun Tanah Negara yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian sama ada penternakan atau tanaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Azman turut berharap pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu dapat menjadi faktor penyumbang kepada sasaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 dalam meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi setiap isi rumah.

"Ia juga diharap dapat meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan tingkatkan jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang," katanya.