TH kekal di bawah bidang kuasa JPM, bukan kementerian kewangan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Tabung Haji (TH) kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang turut menegaskan bahawa dakwaan TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, TH dilemparkan dakwaan dan tuduhan bahawa bidang kuasanya dipindahkan daripada JPM kepada Kementerian Kewangan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset-aset yang tidak menguntungkan TH kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan.

"TH kekal di bawah bidang kuasa JPM, dan perkara ini tidak berubah dengan pengenalan SPV seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pemindahan aset-aset tersebut kepada SPV ialah sebahagian usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal dan mempercepatkan pemulihan kewangan institusi tersebut setelah berlakunya salah laku secara besar-besaran.

TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM), katanya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, BNM sebagai badan yang bebas, dan di bawah pimpinan Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara, termasuk institusi-institusi kewangan Islam. - Bernama

Artikel Berkaitan: