X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Pegawai IT didakwa sebar berita tidak benar menerusi TikTok

Tertuduh, Inderpal Singh Devgun mengaku tidak bersalah menyebarkan berita tidak benar menerusi aplikasi TikTok berhubung kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia dekat sini, Mei lalu.
A
A

IPOH - Seorang pegawai teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar menerusi aplikasi TikTok berhubung kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia dekat sini, Mei lalu.

Tertuduh, Inderpal Singh Devgun, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok di bawah profil akaun 'Blackfitt' dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Dia dituduh menyebarkan berita tidak benar iaitu "Those with appoitments, they are not allowed to go in or difficult to go in for the second dose for vaccination. Apparently today, about 800 people from Tabung Haji have been given a vaccination without appoitments."

Tertuduh memuat naik berita itu pada jam 2.53 petang, 21 Mei 2021 dan dilihat di PPV Stadium Indera Mulia pada jam 3 petang hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Fazrul Shihar Abu Samah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000, namun tertuduh yang diwakili Peguam Collin Arvind Andrew memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Menerusi laporan akhbar pada 23 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Perak menjelaskan gambar tular yang menunjukkan kesesakan di PPV Stadium Indera Mulia disebabkan orang ramai hadir tanpa janji temu.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataannya berkata, seramai 799 orang yang hadir bersama pengiring itu merupakan penerima yang gagal hadir pada tarikh janji temu yang ditetapkan menerusi MySejahtera sebelum ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!