CIMB Islamic akan bantu SimplySiti berkembang ke luar negara

No Image Caption
A
A
A

CIMB Islamic Bank Bhd dan SimplySiti, jenama yang diasaskan oleh penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, hari ini mengumumkan bersama kerjasama untuk mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan tempatan itu merentasi sempadan Malaysia.

SimplySiti juga akan memanfaatkan sokongan menyeluruh Koridor Halal CIMB-ASEAN dan rangkaian kukuh serantau CIMB bagi memenuhi permintaan terhadap produk kecantikan, kosmetik dan penjagaan kulit halal yang berkualiti.

Pada majlis permeterian tersebut hari ini, SimplySiti diwakili presidennya, Siti Nurhaliza, manakala CIMB Islamic diwakili oleh Rafe Haneef, Ketua Pegawai Eksekutif perbankan Islam kumpulan CIMB Group.

Menyaksikan permeteraian tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SimplySiti Azuddin Rahman, Ketua Pegawai Pemasaran CIMB Group Mohamed Adam Wee Abdullah dan Penolong Pengarah Kanan Sekratariat Hal Ehwal Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohd Fadhli Mohd Yusof.

Siti Nurhaliza menyifatkan SimplySiti sebagai jenama yang bukan sahaja menjanjikan kualiti terbaik dengan standard antarabangsa tetapi juga jaminan persijilan oleh JAKIM yang mematuhi standard halal, sekali gus menyediakan kepada keperluan pasaran produk kecantikan halal yang semakin berkembang di rantau ini serta di peringkat antarabangsa.

“Sokongan terhadap produk SimplySiti daripada pelanggan dan peminat amat memberangsangkan dan kami gembira kerana akan dapat membawakan jenama kami ke Indonesia tidak lama lagi, dan pada masa depan ke negara-negara lain di ASEAN.

“Kami juga menghargai hubungan erat kami dengan CIMB Islamic dan berharap kerjasama ini akan memacukan lagi perniagaan kami kehadapan,” katanya.

Sementara itu Rafe berkata: “Bagi mana-mana perniagaan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) peluang bagi pertumbuhan adalah sangat banyak tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk meningkatkannya lagi.

Artikel Berkaitan:

“Di situlah kepakaran CIMB Islamic, Koridor Halal CIMB-ASEAN dan rangkaian kukuh serantau CIMB, akan menyediakan tawaran nilai terbaik kepada pelanggan kami.

“Menerusi kerjasama ini, kami gembira dapat memudahkan usaha SimplySiti melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya dengan memanfaatkan peluang perniagaan halal yang besar dalam rantau ASEAN.”

Rafe berkata perniagaan dialu-alukan untuk memanfaatkan rangkaian kukuh CIMB Islamic dalam seluruh industri dalam ekosistem halal global.

“Sokongan perbankan dan urus niaga menyeluruh kami kepada pelanggan juga menyumbang kepada tawaran nilai kukuh kami bagi membantu perniagaan seperti SimplySiti membina perniagaan halal di luar negara,” katanya.

Koridor Halal CIMB-ASEAN adalah rangkaian perdagangan yang dipertingkatkan yang menghubungkan perniagaan halal dengan prasarana perdagangan dan ekosistem di seluruh ASEAN bagi mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan terhadap produk halal di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

ASEAN yang memiliki lebih daripada 240 juta penduduk Islam bukan sahaja akan menyediakan pasaran yang amat besar tetapi juga pengembangan bagi perniagaan halal.

CIMB Islamic juga menyertai Trade Club Alliance, rangkaian kukuh seluruh dunia yang merangkumi lebih 16 bank dan pelanggan mereka di 19 negara.

Ini akan membolehkan pelanggan perniagaan CIMB dihubungkan dengan rakan kongsi perdagangan global menerusi direktori global pembeli dan penjual yang terjamin dan diyakini yang disokong oleh bank bereputasi di seluruh dunia. - Bernama