Bekas Pengarah Pendidikan Terengganu meninggal dunia

Shafruddin (empat, kiri) turut hadir memberikan penghormatan terakhir. (Gambar kecil: Abdul Rahim)
Shafruddin (empat, kiri) turut hadir memberikan penghormatan terakhir. (Gambar kecil: Abdul Rahim)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Bekas Pengarah Pendidikan Terengganu, Datuk Abdul Rahim Tahir, 73, meninggal dunia dipercayai akibat kanser tulang di kediaman anaknya di Bangi, Selangor pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Beliau yang juga bekas Ketua Nazir Persekutuan, Kementerian Pelajaran dan merupakan Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu 1429H itu menghidap kanser tulang sejak lima bulan lalu.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, kehilangannya cukup dirasai, khususnya bagi warga pendidikan di seluruh negara memandangkan Allahyarham memberikan sumbangan yang cukup besar selama ini.

Shafruddin bersama salah seorang anak arwah.
Shafruddin bersama salah seorang anak arwah.

“Terlalu banyak jasa yang beliau curahkan, terutamanya berkaitan perubahan minda dan sistem pemantauan.

“Beliau juga dianggap sebagai pencetus kebangkitan pendidikan di Terengganu menerusi idea-ideanya yang melangkaui zaman sehingga membolehkannya mendapat Anugerah Tokoh Guru Terengganu pada tahun 2008 dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan pada 2009.

“Saya ingin mengucapkan takziah bagi pihak warga pendidikan Terengganu kepada ahli keluarga arwah,” katanya.

Abdul Rahim sebelum ini menjadi Pengarah Pendidikan Terengganu dari tahun 1994 hingga 1998 dan menamatkan perkhidmatan awam sebagai Ketua Nazir Persekutuan pada tahun 2005.

Artikel Berkaitan: