X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

JKPPH desak turunkan yuran pelajar universiti awam

JKPPH dalam kenyataan bersamanya turut mendesak kerajaan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran khas sementara krisis ekonomi dan wabak yang melanda. - Gambar fail Sinar Harian
A
A

JOHOR BAHRU - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa kerajaan menurunkan kadar yuran yang dikenakan ke atas lebih 500,000 pelajar universiti awam (UA) susulan kemelut ekonomi yang melanda negara kini.

JKPPH dalam kenyataan bersamanya turut mendesak kerajaan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran khas sementara krisis ekonomi dan wabak yang melanda.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Pengerusinya, Dr Maszlee Malik yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai.

ARTIKEL BERKAITAN: KPT disaran kaji semula yuran pengajian ketika pandemik

Kenyataan itu juga meminta subsidi bayaran yuran pelajar dalam keluarga B40 dan M40 yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang memungkinkan pihak IPTS menurunkan kadar yuran.

“Kita mengambil maklum beberapa siri pertemuan telah diadakan di antara wakil pelajar dengan pihak pentadbir universiti mereka dan yang terkini, pertemuan mereka dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara tersebut.

“JKPPH bersetuju dengan tuntutan siswa supaya pihak UA menurunkan yuran dengan mengecualikan yuran-yuran tidak berkaitan sewaktu kebanyakan pelajar menjalankan sesi kuliah dan pembelajaran mereka secara dalam talian.

“Kerajaan juga perlu menyalurkan lebih banyak geran untuk pembangunan infrastruktur dan infrastruktur digital di kesemua 20 UA bagi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital dapat dijalankan oleh kesemua UA demi keselesaan dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran para siswa dan para pensyarah,” menurut kenyataan itu, pada Jumaat.

Jelas kenyataan berkenaan, JKPPH juga sedia maklum dengan tuntutan pelajar IPTS agar yuran mereka diturunkan dalam keadaan mereka terpaksa belajar secara dalam talian sepanjang wabak Covid-19 melanda selain survival IPTS dalam tempoh itu.

“JKPPH juga mencadangkan pengecualian cukai ke atas IPTS berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar yang memerlukan dan penurunan yuran pelajar tempatan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!