Lagakan Anwar dengan PM agenda pembangkang: PKR Kelantan

Muhammad Supardi Md Nor - Foto Bernama
Muhammad Supardi Md Nor - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Perbuatan cuba melaga-lagakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah agenda pihak pembangkang.

Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Muhammad Supardi Md Nor berkata, cubaan musuh PH itu bertujuan untuk memecah belahkan hubungan antara kedua-dua pemimpin terbabit.

"Ia adalah agenda pembangkang, rakyat perlu tahu hubungan antara Dr Mahathir dengan Anwar cukup baik dan menjadi kerisauan kepada pihak yang tidak senang hati dengan hubungan itu.

"Kami (negeri) diberikan keyakinan oleh Anwar semasa mesyuarat Majlis Pemimpinan Pusat (MPP) semalam bahawa beliau (Anwar) dan Dr Mahathir tidak mempunyai masalah," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Program Perhimpunan Skuad Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tanah Merah Bersama Pemimpin Masyarakat di Pejabat AADK Tanah Merah di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan ada pihak mendakwa Pakatan Harapan merancang untuk mengetepikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan melaga-lagakan hubungan antara dua pemimpin itu.

"Kita perlu terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri sedia ada bagi menguruskan negara dan rakyat sehingga Anwar diberikan peluang untuk melaksanakan tugas-tugas itu kemudian.

"Ia adalah perjanjian dalam PH tiada siapa yang boleh menafikan perjanjian ini kerana kami PH tiada masalah, namun yang mempunyai masalah ialah Pas dan UMNO yang berkemungkinan melakukan adu domba dalam kes ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: