PKPD beberapa lokaliti di tiga negeri bermula Sabtu

PKPD akan dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri Terengganu, Perak dan Sabah bermula 10 Julai hingga sehingga 23 Julai ini.
PKPD akan dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri Terengganu, Perak dan Sabah bermula 10 Julai hingga sehingga 23 Julai ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri Terengganu, Perak dan Sabah bermula 10 Julai hingga sehingga 23 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di negeri Terengganu membabitkan tiga lokaliti dalam Mukim Sura, Dungun iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam.

Menurut beliau, hasil pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend kes telah meningkat dalam tempoh seminggu dan setakat ini sebanyak 28 positif direkodkan hasil saringan ke atas 360 penduduk di tiga lokaliti tersebut.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk sekali gus mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, PKPD di negeri Sabah melibatkan Felda Umas 1, 3 dan 4, Kalabakan, Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, Kampung Mangkubau Laut, Pitas serta dan Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu.

"Sementara itu, PKPD di negeri Perak pula akan dilaksanakan di dua mukim iaitu Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Pelanjutan ini dilakukan kerana KKM mendapati kes masih menular selain terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut setelah melakukan 336 ujian saringan di mana 148 daripadanya dilaporkan positif Covid-19.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah bermula 10 Julai sehingga 23 Julai ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, beberapa kawasan di tiga negeri iaitu Kedah, Sabah dan Johor turut ditamatkan pelaksanaan PKPD.

Jelas Ismail Sabri, di negeri Sabah kawasan terlibat ialah Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu, Flat Indah Jaya, Sandakan, manakala di Kedah pula Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim.

"Untuk negeri Johor, PKPD di kawasan Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat ditamatkan awal.

"Keputusan tersebut diambil selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM," katanya.