Dira, Tajuddin, Zahidi dianggap tolak keputusan MKT

Gambar dari kiri: Dira, Tajuddin, Zahidi
Gambar dari kiri: Dira, Tajuddin, Zahidi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengesahkan beliau merupakan antara tiga pemimpin UMNO yang dianggap menolak keputusan mesyuarat badan tertinggi parti itu, Rabu malam.

Jelas Exco Puteri UMNO itu, beliau bersama Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan seorang lagi ahli MKT, Datuk Zahidi Zainul Abidin dianggap menolak keputusan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta setelah memilih untuk berkecuali daripada mengundi usul berkenaan.

Jelas beliau, keputusan berkecuali itu dibuat setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat memberikan penjelasan terperinci mengenai hala tuju dan strategi parti itu setelah bertindak keluar daripada kerajaan PN kelak.

"Saya bersama majoriti ahli MKT meminta penjelasan daripada Presiden UMNO mengenai hala tuju parti selepas menarik sokongan daripada kerajaan PN, namun perkara itu tidak berjawab.

"Tiada penjelasan lanjut...tiada maklumat sama ada UMNO ada pelan B dan C selepas ini. Justeru saya buat keputusan berkecuali kerana saya mempersoalkan sama ada ketetapan terkini MKT itu sesuai atau tidak pada saat rakyat sedang menderita kesan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan kandungan verbatim ucapan Ahmad Zahid sewaktu memuktamadkan ketetapan MKT menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta, dalam mesyuarat secara maya Rabu malam.

Antara kandungan verbatim ucapan Presiden UMNO itu yang tersebar dalam media sosial adalah sejumlah 35 daripada keseluruhan 56 ahli MKT menyokong usul berkenaan tanpa syarat dan 15 orang daripada menyokong secara bersyarat.

15 ahli MKT yang menyokong usul secara bersyarat dipercayai hanya menyokongnya sekiranya tiada kerjasama UMNO dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, atau UMNO memimpin kerajaan baharu yang ditubuhkan kelak.

Artikel Berkaitan:

Kandungan verbatim Ahmad Zahid itu turut mendedahkan Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar tidak menyokong, Tajuddin enggan membuat keputusan sekarang manakala Khaidhirah berkecuali.

Sementara itu, Khaidhirah turut mengesahkan pengumuman Ahmad Zahid berhubung keputusan MKT pada Rabu malam tidak menjelaskan keseluruhan intipati hasil mesyuarat badan tertinggi UMNO itu.

Ujarnya, Ahmad Zahid tidak memaklumkan mengenai persetujuan MKT memberi kuasa kepada ahli-ahli Parlimen parti itu bagi untuk menentukan sokongan mereka apabila agenda pengundian dibangkitkan dalam sidang Parlimen akan datang.

"Persoalan paling penting, pada saat genting rakyat susah sehingga mengundang kemarahan terhadap ahli-ahli politik, adakah sesuai kita menarik sokongan daripada kerajaan sekarang?

"Kalau UMNO benar-benar mewakili rakyat dan bukan sekadar memenuhi kehendak perwakilan UMNO, parti kena fikirkan kemarahan rakyat terhadap sebarang tindakan politik tidak menguntungkan mereka.

"Jangan sampai UMNO yang pernah dihukum rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan dihukum kali kedua hanya kerana kita tidak peka dengan kesusahan rakyat," katanya.

Khaidhirah juga meminta pucuk kepimpinan parti agar tidak berterusan menjadikan UMNO ibarat 'rumah sudah siap, pahat masih berbunyi' susulan ketiadaan penjelasan tuntas mengenai strategi akhir politik parti itu selepas keluar kerajaan PN kelak.

"Kalau kami di peringkat MKT pun keliru, tidak jelas...Bagaimana pula pemimpin di peringkat akar umbi? Apa yang mereka mahu 'jual' mengenai UMNO kepada rakyat?

"Saya minta pucuk kepimpinan fikir-fikirkanlah kesusahan rakyat pada saat pandemik...jangan sekadar buat keputusan yang akhirnya bakal memudaratkan negara," katanya.