MIC mahu keputusan UMNO dimuktamadkan di peringkat BN

Saravanan ketika ditemui pemberita dalam program agihan bakul makanan bagi kawasan Parlimen Tapah di Dewan Gandhi di sini pada Khamis.
Saravanan ketika ditemui pemberita dalam program agihan bakul makanan bagi kawasan Parlimen Tapah di Dewan Gandhi di sini pada Khamis.
A
A
A

TAPAH - Pendirian UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri perlu dibincang dalam Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) sebelum dimuktamadkan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, ini kerana sokongan yang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin sebelum ini tidak diwakili oleh satu-satu parti, sebaliknya di bawah persepakatan BN.

"Sebagai rakan kongsi, kita menghormati pendirian mereka, tetapi dalam perkara ini, semua parti baik MIC atau UMNO, kita terikat di bawah BN dan sokongan yang diberikan kepada kerajaan PN sebelum ini adalah mewakili rakyat BN.

"Kami di MIC tidak sokong Muhyiddin sebagai wakil rakyat MIC, tetapi mewakili BN.

"Jadi, saya percaya perkara ini boleh dibincang secara baik di peringkat BN sebelum satu keputusan muktamad dibuat," katanya ketika ditemui dalam program agihan bakul makanan bagi kawasan Parlimen Tapah di Dewan Gandhi di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Parlimen Tapah itu menegaskan, MIC akan kekal dengan pendirian menyokong kepimpinan Muhyiddin dan kerajaan PN sehingga satu keputusan dimuktamadkan di peringkat BN.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada sebarang usaha perbincangan dibuat mengenai perkara itu di peringkat BN.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak ada dengar apa-apa lagi (perbincangan) di peringkat BN, jadi kita tunggu sahajalah. Buat masa ini kita terus menyokong kepimpinan Muhyiddin," katanya.

Saravanan berkata, pada ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi yang begitu teruk akibat pandemik Covid-19, kerajaan dan pimpinan yang ada sepatutnya fokus kepada usaha membantu rakyat dan bukannya berpolitik untuk kepentingan diri.

"Apapun itu pendirian MKT UMNO dan saya kira pada masa sama di pihak MIC juga perlu diadakan perbincangan mengenai perkara ini di peringkat parti," katanya.

Pada Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan Kali Ke-71 2021 April lalu, MIC mengumumkan akan terus menyokong dan kekal bersama pentadbiran kerajaan PN sehingga menunggu keputusan muktamad dibuat Majlis Tertinggi BN.