X

Kindly register in order to view this article
!

Perkukuh jati diri belia elak rasuah

Gambar hiasan. Foto 123RF. Gambar kecil:Wafiq Azman
A
A

SHAH ALAM - Memperkukuhkan jati diri dalam kalangan belia merupakan langkah terbaik bagi memastikan mereka tidak mudah terlibat dengan aktiviti tidak bermoral termasuk rasuah.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Wafiq Azman berkata, jati diri juga penting untuk melahirkan insan yang berprinsip, amanah dan bertanggungjawab.

Wafiq mendakwa, tahap kesedaran belia mengenai rasuah masih berada dalam fasa sederhana dan membimbangkan.

“Ini dapat dibuktikan melalui kajian terhadap 1,000 penuntut universiti yang menunjukkan sebanyak 16 peratus mahu menerima rasuah manakala 18.5 peratus lagi sanggup memberikan rasuah.

“Justeru, nilai jati diri yang kukuh secara tidak langsung menghindarkan mereka daripada terjebak dengan kegiatan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Wafiq berkata, masyarakat miskin atau kaya perlu nekad menolak untuk menjadi penerima atau pemberi rasuah.

Menurutnya, tanggungjawab membanteras rasuah bukan saja terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi harus ditangani setiap lapisan rakyat.

“Kerajaan perlu memperkasa polisi dan gerak kerja. Setiap inisiatif yang dirangka dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 perlu disegerakan terutama dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Kewujudan kartel dalam kerajaan juga perlu dihapuskan segera. Jika tidak, budaya rasuah tidak dapat dibanteras kerana ejen pelaksana sendiri korup dan tidak berintegriti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wafiq berkata, Pembina konsisten mengatakan bahawa budaya rasuah merupakan salah satu krisis dalam kepimpinan negara.

Menurutnya, atas dasar itu banyak program kepimpinan untuk mahasiswa dilaksanakan bagi membina jati diri.

“Kami kini telah merangka Projek Qudwah (Projeq) bagi melahirkan ahli yang berkebolehan memimpin, bersih daripada masalah sosial serta bebas rasuah menjelang 2030,” katanya.Tambah Wafiq, Pembina turut terlibat sama dalam usaha Majlis Belia Malaysia (MBM) menubuhkan gabungan Belia Rasuah Busters.

“Gabungan ini akan dikoordinasikan oleh Sekretariat Belia Rasuah Busters dengan setiap pertubuhan di bawahnya diberikan autonomi untuk menggerakkan aktiviti yang berkaitan,” kata Wafiq.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!